
PRESIDEN UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan mandat perlu dikembalikan kepada rakyat, manakala parti yang diterajuinya bersedia berdepan dengan lawan politik di medan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Barisan Nasional (BN) tidak seharusnya terus dibebankan untuk melunaskan manifesto serta agenda reformasi yang gagal disempurnakan Pakatan Harapan (PH), selepas gabungan itu tewas dalam tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan.
Pada PRU15, PH tampil dengan pelbagai janji yang dilihat populis, termasuk harga minyak RM1.50, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), penghapusan tol, sarapan percuma, peruntukan pembangunan kawasan yang sama rata kepada semua ahli Parlimen, biasiswa B40, akta penggal tetap bagi mengehadkan tempoh Perdana Menteri kepada 10 tahun serta pemisahan jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Namun, selepas diberi peluang mentadbir, sebahagian daripada janji tersebut masih gagal direalisasikan seperti yang ditawarkan kepada rakyat.
Lebih mengecewakan, apabila kelemahan dan kegagalan itu dipersoalkan, PH dilihat lebih gemar membina naratif politik dengan terus menyerang serta memburukkan pemimpin UMNO.
Isu Tabung Haji (TH), perkara membabitkan Timbalan Perdana Menteri dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), selain pelbagai kontroversi lain terus dijadikan bahan politik, seolah-olah segala permasalahan negara berpunca daripada UMNO. –UTUSAN
MIOR AZLAN MIOR KAMARULBAID
Bendahari UMNO Bahagian Ampang
The post Jangan bebankan BN bila gagal tunai janji appeared first on Utusan Malaysia.






