
KUALA LUMPUR – Mandat rakyat bukan ganjaran untuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengejar kuasa, sebaliknya amanah bagi membina masa depan Malaysia.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu menjadi asas kepada Agenda Malaysia Biru yang digariskan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam mempersiapkan negara menuju 100 tahun kemerdekaan.
Menurut beliau, Agenda Malaysia Biru membawa UMNO dan BN melangkaui politik pilihan raya dengan memberi fokus kepada bentuk negara yang mahu dibina sekiranya rakyat kembali memberikan kepercayaan kepada gabungan itu untuk memimpin Malaysia.
“Persoalannya bukan sekadar bagaimana kita mahu menang, tetapi apakah Malaysia yang mahu kita bina sekiranya rakyat sekali lagi memberikan kepercayaan kepada UMNO dan BN untuk memimpin negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, matlamat agenda itu adalah membina Malaysia yang berdaulat dan bersatu, inovatif serta berpendapatan tinggi, selain memastikan rakyat makmur dan saksama serta negara unggul dan disegani dunia.
Katanya, UMNO mempunyai sejarah panjang dalam pembinaan negara, namun sejarah sahaja tidak memadai untuk menjamin kepercayaan rakyat.
“Kepercayaan mesti diperoleh melalui tawaran masa hadapan iaitu dasar yang lebih baik, penyelesaian yang realistik dan kepimpinan yang mampu menjawab cabaran generasi akan datang,” katanya.
Azalina berkata, menjelang satu abad kemerdekaan, UMNO perlu jelas mengenai negara yang mahu diwariskan kepada generasi seterusnya.
“Mandat bukan ganjaran kepada sebuah parti dan kuasa bukan matlamat perjuangan. Mandat adalah amanah untuk membina masa depan Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Mandat bukan untuk kejar kuasa, tetapi amanah kepada rakyat – Azalina appeared first on Kosmo Online.






