'Jangan buka pintu' - Polis siasat misteri ketukan tengah malam ganggu penduduk Langgar

18 Aug 2026 • 3:39 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Jangan buka pintu' - Polis siasat misteri ketukan tengah malam ganggu penduduk Langgar
Laporan Sinar Harian pada Selasa berhubung misteri ketukan pintu rumah tengah malam di kawasan Langgar.

ALOR SETAR - Polis meningkatkan rondaan dan pemantauan di sekitar kawasan Langgar di sini susulan dakwaan bunyi ketukan pada pintu dan pagar rumah penduduk pada tengah malam yang tular di media sosial sejak Ahad.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, pihaknya sudah mengambil maklum mengenai dakwaan berkenaan dan sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Menurutnya, setakat ini pihak polis belum menerima sebarang laporan rasmi daripada mana-mana pihak berkaitan kejadian tersebut.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, terdapat penduduk yang mendakwa terdengar bunyi ketukan kuat pada pintu atau pagar rumah pada waktu malam.

“Pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengetahui punca kejadian dan pada masa sama akan meningkatkan rondaan serta pemantauan di kawasan Langgar dan kawasan berhampiran,” katanya pada Selasa.

Sebelum ini, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi kira-kira 2.25 minit dikongsikan penduduk, memaparkan bunyi ketukan pada pintu kediaman yang kedengaran dengan jelas, namun tiada individu kelihatan di hadapan rumah.

Kejadian itu difahamkan berlaku di beberapa kawasan perumahan termasuk Taman Vistana, Taman Amira, Taman Awana dan Taman Lelasari sehingga ke Pekan Langgar.

Seorang penduduk Taman Vistana, Shahira Azizan, 31, yang turut mengalami kejadian berkenaan berkata, bunyi ketukan tersebut kedengaran jelas sehingga pada awalnya dia menyangka suaminya berada di luar rumah.

Dalam pada itu, Syed Basri menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Beliau turut menasihatkan penduduk supaya meningkatkan tahap keselamatan rumah dan kawasan persekitaran dengan memastikan pintu serta pagar sentiasa dikunci dengan sempurna, khususnya pada waktu malam.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuka pintu atau pagar sesuka hati apabila terdengar ketukan, terutama sekiranya identiti individu di luar rumah tidak dapat dikenal pasti.

“Sekiranya terdapat sebarang aktiviti mencurigakan atau kelibat individu yang tidak dikenali, jangan mengambil tindakan sendiri. Utamakan keselamatan diri dan ahli keluarga serta segera hubungi balai polis berhampiran untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian tersebut diminta tampil menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan lanjut.

Polis turut memberi jaminan akan terus meningkatkan rondaan dan pemantauan bagi memastikan keselamatan, ketenteraman serta kesejahteraan penduduk di kawasan berkenaan terus terpelihara.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved