
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga asing dan tiga lelaki tempatan ditahan polis susulan satu insiden pergaduhan yang berlaku di laluan masuk ke Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, tengah malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd. Shaffei berkata, ketiga-tiga suspek yang ditahan berusia antara 25 hingga 46 tahun.
Menurut beliau, pihaknya turut merampas sebilah pisau dan satu topi keledar bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
“Siasatan awal mendapati pergaduhan itu berpunca disebabkan perselisihan faham antara tiga lelaki tempatan dan seorang warganegara asing. Semasa polis cuba menenangkan keadaan, lelaki asing terbabit telah membuat provokasi terhadap anggota polis berkenaan.
“Susulan itu, empat individu terlibat telah ditahan antara pukul 12.15 tengah malam hingga 1.45 pagi, hari sama. Semakan rekod mendapati dua suspek mempunyai 16 rekod jenayah lampau bersabit kesalahan jenayah dan dadah,” katanya.
Tambah Azrul Hisham, keempat-empat suspek kini ditahan reman selama tiga hari bermula semalam.-UTUSAN
The post Empat lelaki termasuk warganegara asing ditahan bergaduh di laluan masuk BSI appeared first on Utusan Malaysia.






