Jangan buka pintu sesuka hati bila dengar ketukan – Polis

18 Aug 2026 • 4:17 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Jangan buka pintu sesuka hati bila dengar ketukan – Polis

ALOR SETAR – Polis sedang menyiasat dakwaan bunyi ketukan yang dikatakan berlaku di beberapa rumah di kawasan Langgar, di sini dan meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, dakwaan kejadian tersebut yang tular di media sosial sudah dalam pengetahuan polis, namun setakat ini belum menerima laporan rasmi daripada penduduk terlibat.

Katanya, berdasarkan maklumat diterima, terdapat penduduk yang mendakwa terdengar bunyi ketukan kuat pada pintu atau pagar rumah masing-masing pada waktu malam.

“Sehingga kini, pihak polis belum menerima sebarang laporan polis rasmi daripada mana-mana pihak. Pihak polis juga masih menjalankan siasatan bagi mengetahui punca kejadian,” katanya di sini hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Pada masa sama, Syed Basri meminta penduduk supaya meningkatkan tahap keselamatan rumah dan kawasan persekitaran dengan memastikan pintu serta pagar sentiasa dikunci sempurna terutama pada waktu malam.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuka pintu atau pagar sesuka hati apabila terdengar ketukan, khususnya sekiranya identiti individu di luar rumah tidak dapat dikenal pasti.

“Sekiranya terdapat aktiviti mencurigakan atau kelibat individu tidak dikenali, orang ramai diminta supaya tidak mengambil tindakan sendiri, sebaliknya mengutamakan keselamatan diri dan keluarga serta segera menghubungi balai polis berhampiran,” ujarnya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian tersebut agar tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu tindakan dan siasatan lanjut.

“Pihak polis juga akan meningkatkan rondaan dan pemantauan di sekitar Langgar serta kawasan berhampiran bagi memastikan keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan penduduk setempat terus terpelihara,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

The post Jangan buka pintu sesuka hati bila dengar ketukan – Polis appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved