‘Saya lebih risau manusia yang ketuk’

18 Aug 2026 • 1:35 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Saya lebih risau manusia yang ketuk’

ALOR SETAR – “Saya lebih risau kalau bunyi ketukan itu berpunca daripada manusia berbanding perkara lain.”

Demikian kata Nurrfariha, 25, yang mendakwa mengalami sendiri kejadian bunyi ketukan kuat sehingga menggoncang jeriji pintu rumahnya di Taman Amira, Langgar, di sini.

Katanya, kejadian berlaku antara pukul 11 malam hingga 12.30 tengah malam semalam ketika dia sedang makan sambil menonton televisyen, manakala suaminya berada di bilik kerja di bahagian belakang rumah.

“Saya terkejut bila dengar bunyi kuat itu dan pada mulanya saya ingat ada orang datang rumah, rasa geram sebab tak reti bagi salam.

“Apabila ketukan itu jadi sangat kuat sehingga menggoncang jeriji pada sliding door kaca rumah macam orang tengah marah, saya terus tersedar dan bangun panggil suami,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, suaminya kemudian keluar mengintai dari tingkap, namun tidak melihat sesiapa sebelum bunyi ketukan kembali kedengaran dari jauh sebelum terdengar lagi bunyi ketukan pada jarak dekat.

“Suami kemudian menghubungi rakannya yang merupakan anggota polis untuk datang melihat apa yang berlaku tetapi tiada apa. Saya sebenarnya lebih takut kalau ia dilakukan oleh manusia,” ujarnya.

Katanya, pemeriksaan mendapati pagar rumah tidak terusik, manakala seorang jiran turut keluar dan memaklumkan mereka mendengar bunyi sama sehingga anaknya terjaga daripada tidur. Pemeriksaan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) jiran juga tidak menemukan sebarang kelibat atau individu mencurigakan.

Nurrfariha berkata, dia yakin kejadian itu bukan dilakukan kanak-kanak nakal kerana kawasan perumahan berkenaan masih baharu dengan kebanyakan penduduk mempunyai anak kecil yang disifatkannya baik dan sopan, selain tiada taman permainan atau lokasi lepak di kawasan tersebut.

“Saya juga ada baca ia mungkin disebabkan water hammering tetapi setahu saya yang ada masalah paip air adalah di kawasan Sungai Petani. Kalau betul (water hammering), alhamdulillah kerana hati saya boleh tenang sikit,” katanya.

Tambahnya, selepas perkongsiannya di Threads mendapat perhatian ramai dan dikaitkan dengan unsur mistik, dia sendiri tidak menyangka kejadian berkenaan akan menjadi tular, selain mendakwa beberapa kawasan berdekatan seperti Taman Lelasari dan Pulau Bidin turut berkongsi pengalaman sama.

“Malam tadi saya tidur awal dan dah tak dengar bunyi ketukan itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Saya lebih risau manusia yang ketuk’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved