Jangan Diam Kalau Anak Atau Menantu Buat Keganasan, Nancy Shukri Ingatkan Ibu Bapa

LocalPolitics
5 Nov 2026 • 3:18 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Ana SR 17

Rumah sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk kita pulang selepas penat menjalani kehidupan seharian, tapi bagi sesetengah orang, ia menjadi kawasan mereka berdepan ketakutan setiap hari.

Lebih menyedihkan, keganasan rumah tangga bukan hanya berlaku dalam bentuk kecederaan fizikal tetapi termasuk juga penderaan emosi, ugutan, kawalan kewangan, keganasan seksual serta perbuatan mengawal pergerakan mereka sendiri.

Malah, dalam era digital sekarang, keganasan turut boleh berlaku menerusi pemantauan, gangguan dan ugutan menggunakan teknologi.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, sebanyak 5,862 kes keganasan rumah tangga direkodkan sehingga September 2026.

Lebih membimbangkan, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 7,399 kes direkodkan pada 2025 berbanding 7,119 kes pada 2024, iaitu peningkatan sebanyak 3.9 peratus.

Bagi Nancy, setiap angka yang direkodkan itu mewakili individu dan keluarga termasuk kanak-kanak yang memerlukan perlindungan, sokongan serta bantuan.

“Di sebalik setiap angka itu, ada individu dan keluarga, termasuk kanak-kanak, yang memerlukan perlindungan, sokongan dan pemulihan.”

Jangan Anggap Keganasan Rumah Tangga Sebagai Masalah Dalaman Keluarga

KPWKM

Ketika berucap dalam Simposium Pengukuhan Institusi Rumah Tangga, Nancy mengingatkan orang ramai supaya tidak menganggap keganasan rumah tangga sebagai urusan keluarga yang perlu disimpan, sebaliknya isu ini perlu dipandang serius kerana ia melibatkan keselamatan dan hak asasi manusia.

“Keganasan rumah tangga tidak boleh dianggap sebagai urusan dalaman keluarga sahaja yang wajar didiamkan. Sebaliknya, ia perlu ditangani sebagai isu keselamatan dan pelanggaran hak asasi manusia yang menuntut perhatian serta tindakan daripada semua pihak.”

Beliau turut mengajak masyarakat supaya segera bertindak sekiranya mengetahui ada ahli keluarga atau individu terdekat yang menjadi mangsa keganasan.

Malah, ibu bapa juga perlu memainkan peranan memastikan anak-anak tidak membesar dalam persekitaran yang penuh dengan keganasan kerana pengalaman tersebut boleh meninggalkan kesan terhadap emosi dan kehidupan mereka apabila dewasa kelak.

Bukan Wanita Sahaja, Lelaki Pun Boleh Jadi Mangsa

Selama ini, apabila bercakap tentang keganasan rumah tangga, ramai mungkin terus membayangkan wanita sebagai mangsa.

Namun, Nancy menjelaskan bahawa lelaki juga tidak terkecuali daripada menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan mereka turut mendapat perhatian serta bantuan daripada pihak kementerian.

“Kita sentiasa membantu wanita, tetapi kita juga membantu lelaki. Kita melakukan segala usaha untuk semua orang dalam negara ini.”

Katanya, masih terdapat mangsa lelaki yang memilih untuk tidak membuat laporan walaupun berdepan situasi sedemikian.

Bagi memahami cabaran yang dihadapi golongan ini dengan lebih mendalam, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sedang melaksanakan Kajian Lelaki Budiman dari 2026 hingga pertengahan 2027.

Kajian tersebut bertujuan mengenal pasti keperluan dan cabaran golongan lelaki sebagai asas kepada pembentukan dasar serta intervensi yang lebih bersasar.

Selain itu, LPPKN turut menyediakan modul keibubapaan menerusi program Peneraju Kepimpinan Keluarga yang memberi penekanan kepada pengurusan emosi, komunikasi, kemahiran keibubapaan dan penyelesaian konflik.

KPWKM Turut Ajar Wanita Dan Kanak-kanak Pertahankan Diri

Dalam usaha mencegah keganasan rumah tangga, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) turut memperluaskan pelbagai program kesedaran dan perlindungan kepada masyarakat.

Antaranya termasuk pelancaran Dasar Keluarga Negara (DKKN) 2026-2030 yang mengambil kira cabaran keluarga masa kini seperti kesihatan mental, perkembangan teknologi digital, perubahan demografi dan ketidakseimbangan antara kerja dengan kehidupan berkeluarga.

Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) pula memperluaskan program Advokasi Kesejahteraan untuk Wanita dan Keganasan Rumah Tangga bagi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang isu berkenaan.

Tidak cukup dengan itu, program Sukarelawan Skuad WAJA turut diperkasakan sebagai usaha meningkatkan kesedaran mengenai keganasan terhadap wanita dan keselamatan sosial di peringkat komuniti.

Menariknya, kementerian juga melaksanakan pendidikan mempertahankan diri di sekolah supaya golongan wanita dan kanak-kanak mempunyai pengetahuan untuk melindungi diri sekiranya berdepan situasi berbahaya.

Dalam masa sama, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan perkhidmatan kaunseling dan intervensi psikososial menerusi kaunselor berdaftar bagi membantu individu serta keluarga yang berdepan tekanan emosi dan krisis kehidupan.

Sumber: Ucapan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved