“Jangan ekstrem & melampau” – Menteri Agama Tegur Isu Ugut Individu Yang Tak Boikot

LocalPolitics
19 Apr 2024 • 12:39 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Walaupun usaha memboikot sebahagian jenama atau barangan yang berkait dengan Israel masih diteruskan, namun ada yang berpendapat tindakan memboikot itu adalah pilihan masing-masing.

Sebelum ini, tular mengenai segelintir pihak yang melakukan provokasi dan ugutan terhadap pelanggan di sebuah restoran makanan segera yang terkait dengan isu boikot.

Malah, pihak yang tidak menyukai individu yang memilih untuk tidak memboikot sanggup mempergunakan imej ‘anjing’ untuk menggambarkan pelanggan yang makan di restoran berkaitan semasa Aidilfitri.

image is not available

Jangan ambil tindakan ekstrem

Melihat isu yang tercetus ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menegur orang ramai untuk tidak mengambil tindakan ekstrem dan melampau sehingga mengaibkan mana-mana pihak.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin menyeru semua pihak agar tidak mengambil tindakan ekstrem dan melampau sehingga memberikan keaiban kepada mana-mana pihak,” katanya.

Jelas beliau, kekejaman yang dipamerkan Israel terhadap rakyat Palestin tidak boleh diterima sama sekali namun apa jua tindakan yang diambil untuk menunjukkan solidariti perlulah dibuat atas asas ilmu dan akhlak.

“Semua pihak perlu sentiasa menjaga keharmonian serta perpaduan dalam bermasyarakat. Apa-apa tindakan yang boleh mengundang keresahan awam adalah perlu dielakkan sama sekali.

“Dalam hal ini juga, boleh rujuk kepada pihak berkuasa agama Islam negeri untuk mendapatkan penjelasan berlandaskan kefahaman Islam yang sebenar,” katanya.

Banyak dah penjelasan yang diberikan oleh pakar termasuk mufti dan menteri agama tentang isu boikot ini. Nak boikot atau tidak, itu pilihan masing-masing…

Sumber: FMT

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.