Jangan gaduh, berebut kuasa – Sultan Selangor

LocalPolitics
2 Oct 2026 • 7:58 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Jangan gaduh, berebut kuasa – Sultan Selangor

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan pemimpin politik supaya tidak bergaduh, bertelagah atau berebut kuasa sehingga mencetuskan perpecahan sesama mereka.

Sebaliknya, baginda mahu segala usaha dan perhatian hendaklah ditumpukan kepada pembangunan negeri, kesejahteraan rakyat serta kebajikan mereka yang memerlukan pembelaan.

“Perbezaan pendirian dan fahaman politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kerjasama demi kepentingan negeri dan rakyat.

“Tanggungjawab kepimpinan hendaklah dilaksanakan dengan penuh amanah, dengan mendahulukan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan peribadi mahupun kelompok politik,” titah baginda menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Baginda turut mengingatkan bahawa kemajuan Selangor perlu disertai keharmonian masyarakat dan kestabilan pentadbiran.

“Justeru, para pemimpin hendaklah memelihara sikap saling menghormati serta mengutamakan perbincangan yang membina dalam menangani sebarang perbezaan,” titahnya.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Baginda yang diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Baginda kemudian menunaikan Solat Jumaat bersama rakyat jelata.

Pada majlis ini, Sultan Sharafuddin berkesempatan bertemu dan bersantap bersama mantan-mantan Menteri Besar Selangor iaitu Dr. Mohamad Khir Toyo dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, serta Menteri Besar Selangor ketika ini, Datuk Seri Amirudin Shari.

Pertemuan ini mencerminkan keprihatinan berterusan Sultan Sharafuddin terhadap hala tuju negeri dan kehidupan rakyat, di samping memperlihatkan hubungan baik antara institusi diraja dengan kepimpinan pentadbiran negeri, termasuk mereka yang pernah menggalas tanggungjawab tersebut. – KOSMO! ONLINE

The post Jangan gaduh, berebut kuasa – Sultan Selangor appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved