Pemimpin politik jangan bergaduh, berebut kuasa - Sultan Selangor

LocalPolitics
2 Oct 2026 • 7:22 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pemimpin politik jangan bergaduh, berebut kuasa - Sultan Selangor
Sultan Selangor (dua dari kanan) bergambar bersama Amirudin (dua dari kiri), Mohamed Azmin (kiri) dan Mohamad Khir.

SHAH ALAM - Pemimpin politik di Selangor diingatkan supaya tidak bergaduh, bertelagah atau berebut kuasa sehingga mencetuskan perpecahan, sebaliknya menumpukan usaha kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, perbezaan pendirian dan fahaman politik tidak menjadi penghalang kepada kerjasama demi kepentingan negeri serta rakyat.

Baginda menegaskan, tanggungjawab kepimpinan perlu dilaksanakan dengan penuh amanah dengan mendahulukan kepentingan rakyat berbanding kepentingan peribadi atau kelompok politik.

"Tanggungjawab kepimpinan hendaklah dilaksanakan penuh amanah dengan mendahulukan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan peribadi mahupun kelompok politik," titah baginda yang dikongsi di Facebook Selangor Royal Office di sini pada Jumaat.

Terdahulu, baginda berkenan bersantap bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan bekas Menteri Besar, Dr Mohamad Khir Toyo dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pertemuan antara Sultan Selangor bersama tiga tokoh yang pernah dan sedang menerajui pentadbiran negeri itu turut memperlihatkan hubungan baik antara institusi diraja dengan kepimpinan politik Selangor.

Pertemuan itu berlangsung selepas baginda berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Baginda di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Jumaat.

Baginda turut berkenan menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 15,000 jemaah yang hadir pada majlis berkenaan.

Dalam pertemuan itu juga, Sultan Sharafuddin bertitah, kemajuan di Selangor perlu disertai keharmonian masyarakat dan kestabilan pentadbiran.

Sehubungan itu, baginda mahu pemimpin memelihara sikap saling menghormati serta mengutamakan perbincangan yang membina dalam menangani sebarang perbezaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved