“Jangan hanya viralkan” – Ketua Polis Selangor Gesa Orang Ramai Segera Buat Laporan Polis

17 May 2023 • 12:33 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Polis mengingatkan orang ramai supaya membuat laporan kepada mereka untuk memaklumkan tentang kejadian secepat mungkin dan bukannya hanya menyebarkannya di media sosial sebagai bahan tontonan kepada saksi yang acuh tak acuh.

Mengambil contoh baru-baru ini kes tular yang mendakwa sepasang suami isteri meninggalkan dua anak mereka dalam kereta berkunci untuk menghadiri rumah terbuka, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata kejadian seperti ini boleh meragut nyawa jika dibiarkan.

Malah, katanya dalam kes sebegitu, ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu boleh berdepan tindakan undang-undang, lapor Astro Awani.

“Ia jelas satu kes kecuaian ibu bapa yang boleh mengancam nyawa anak-anak.Bagi mereka yang merakam atau menyebarkan video kejadian itu, lebih baik melaporkan kejadian itu kepada polis daripada menyiarkan dan berkongsi di media sosial.”

image is not available

Dalam perkembangan lain, Hussein berkata sebanyak 155 kes jenayah seksual terhadap remaja bawah umur dilaporkan dari Januari hingga April tahun ini di Selangor.

Tanpa mengulas lanjut, beliau berkata kes ini semakin meningkat dan daripada jumlah itu, 33 suspek adalah pelajar.

“Jenayah seksual membabitkan individu di bawah umur 18 tahun adalah satu kesalahan serius dan tidak memahami undang-undang juga penting kepada suspek yang melakukan jenayah itu dengan menggunakan alasan saling menyayangi.” katanya.

image is not available

Jelasnya, akses mudah kepada internet dan media sosial turut memberi impak dalam kekerapan jenayah seksual dalam kalangan remaja bawah umur.

Hussein berkata kebanyakan kes melibatkan perempuan di sekolah menengah, mangsa paling muda berusia 12 tahun.

Katanya lagi, polis sentiasa memantau aktiviti pelajar di sekolah dengan mewujudkan pegawai perhubungan sekolah. Namun itu tidak mencukupi sekiranya ibu bapa atau penjaga tidak mengambil serius mengenai isu ini kerana mereka yang harus memainkan peranan penting.

image is not available

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.