
PETALING JAYA – Orang ramai yang sedang memburu tiket Formula 1 (F1) Sepang 2026, bulan depan diingatkan supaya tidak terjerat dengan ulat tiket yang mengambil kesempatan menjualnya pada harga melampau.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, keterujaan mendapatkan tiket acara berkenaan tidak seharusnya menyebabkan pengguna mengabaikan risiko pembelian daripada penjual tidak rasmi.
Katanya, pembelian menerusi saluran tidak sah boleh menyebabkan pengguna menjadi mangsa tiket palsu selain berdepan kemungkinan tiket berkenaan sudah digunakan atau dibatalkan penganjur.
“Sekarang ramai yang teruja untuk mendapatkan tiket Formula 1 Sepang 2026 yang bakal berlangsung bulan hadapan. Jadi, berhati-hati ketika membuat pembelian.
“Sebelum membuat bayaran, semak saluran jualan rasmi, harga asal, identiti penjual dan syarat penggunaan tiket,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut Fuziah, pengguna juga tidak seharusnya mudah terperdaya dengan tangkap layar atau desakan penjual seperti meminta bayaran segera kononnya tiket akan dibeli orang lain.
Katanya, kegiatan ulat tiket atau ‘scalping’ lazimnya berlaku apabila pihak tertentu memborong tiket termasuk menggunakan bot automatik sebelum menjualnya semula pada harga berkali ganda lebih tinggi.
Jelasnya, Kementerian Komunikasi dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bersama agensi berkaitan kini sedang meneliti undang-undang khusus bagi menangani kegiatan tersebut.
Bagaimanapun, katanya, kesedaran pengguna masih menjadi benteng pertama dalam membendung kegiatan ulat tiket kerana permintaan terhadap tiket jualan semula membolehkan aktiviti itu terus berleluasa.
“Gunakan kuasa anda sebagai pengguna. Jangan beli daripada ulat tiket, jangan tunduk kepada harga melampau dan jangan biarkan keterujaan menyebabkan diri anda menjadi mangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Jangan jadi mangsa ulat tiket F1 Sepang 2026 – Fuziah appeared first on Kosmo Online.






