Jangan jadikan isu rasuah sebagai 'drama penderhakaan' - PKR

LocalPolitics
10 Sep 2026 • 12:16 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jangan jadikan isu rasuah sebagai 'drama penderhakaan' - PKR
Saifuddin Shafi

SHAH ALAM – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menbidas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengenai pendirian Pakatan Harapan (PH) berhubung hukuman terhadap individu yang disabitkan kesalahan rasuah dan menggesa ia tidak dijadikan 'drama penderhakaan'.

Timbalan Setiausaha Agungnya, Saifuddin Shafi Muhammad menegaskan, isu penghormatan terhadap institusi Raja-Raja Melayu tidak wajar dicampuradukkan dengan pendirian politik terhadap rasuah, salah guna kuasa dan kedaulatan undang-undang.

Beliau berkata, PH tidak pernah menafikan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

“Jangan ubah persoalan tentang rasuah menjadi drama kononnya derhaka kepada Raja. Itu dua perkara yang berbeza.

“Institusi Raja mesti terus dihormati, manakala rasuah tetap wajib ditentang. Tidak ada kompromi antara kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN:  UMNO kritik kenyataan PH pertikai kuasa pengampunan Agong

Sebelum ini, Asyraf Wajdi mengkritik tindakan Majlis Sekretariat PH yang didakwa mendahului pertimbangan Lembaga Pengampunan serta mempersoalkan kuasa pengampunan YDPA.

Beliau menegaskan kuasa berkenaan termaktub jelas di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan dan tidak seharusnya dipersoalkan mana-mana pihak.

Mengulas perkara itu, Saifuddin Shafi berkata, menghormati kuasa perlembagaan YDPA tidak bermaksud parti politik kehilangan hak untuk menyatakan pendirian terhadap isu integriti, rasuah dan hukuman yang telah diputuskan mahkamah.

Beliau turut mempersoalkan pendirian UMNO berkaitan isu institusi diraja dengan mengaitkannya dengan kemelut politik di Negeri Sembilan.

“Kalau UMNO benar-benar mahu tampil sebagai benteng institusi Raja-Raja Melayu, jawab dahulu persoalan di Negeri Sembilan.

“Jangan hanya lantang bercakap soal Raja apabila ia menguntungkan naratif politik sendiri, tetapi membisu apabila timbul persoalan yang jauh lebih serius di depan mata,” katanya.

Saifuddin Shafi menegaskan institusi Raja tidak sepatutnya dijadikan perisai setiap kali wujud perbahasan mengenai integriti dan keyakinan rakyat.

“Dalam soal institusi Raja, kita menjunjung Perlembagaan. Dalam soal rasuah, kita pertahankan kedaulatan undang-undang. Jangan campur-adukkan kedua-duanya semata-mata untuk meraih persepsi politik murahan,” katanya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved