“Saya takda, saya pun tak tahu…”- Azalina nafi hadir mesyuarat penyingkiran Tuanku Muhriz

LocalPolitics
9 Sep 2026 • 7:35 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Dua pemimpin kanan UMNO menafikan terbabit dalam pertemuan yang dikaitkan dengan dakwaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, menandatangani surat pengisytiharan bagi menyingkirkan Tuanku Muhriz Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Penafian itu dibuat Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki dan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said ketika ditemui selepas Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026, di sini hari ini.

Azalina berkata beliau tidak mengetahui mengenai perkara berkenaan dan tidak berada ketika Ismail didakwa menandatangani surat terbabit.

“Saya tak tahu, saya tidak ada waktu dia (Ismail) tandatangan. Memang tidak ada,” katanya.

Image from: “Saya takda, saya pun tak tahu…”- Azalina nafi hadir mesyuarat penyingkiran Tuanku Muhriz

Sementara itu, Asyraf Wajdi turut menafikan pembabitan dalam pertemuan yang didakwa berkenaan.

“Saya tak ada. Tidak terbabit, saya bukan (kepimpinan) Negeri Sembilan. Saya hanya perwakilan nasional,” katanya.

Image from: “Saya takda, saya pun tak tahu…”- Azalina nafi hadir mesyuarat penyingkiran Tuanku Muhriz

Hari ini, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim mendakwa beliau dipaksa menandatangani Surat Cara Proklamasi berkaitan pemecatan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Beliau berkata, laporan polis telah dibuat kira-kira jam 6 petang semalam bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung dakwaan berkenaan.

“Saya ingin menjelaskan bahawa surat cara tersebut telah saya tandatangani tanpa rela hati dan secara paksaan (duress),”katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri berpendirian bahawa surat cara berkenaan tidak memenuhi proses dan tatacara yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Justeru, beliau menegaskan dokumen tersebut tidak sah, tidak berperlembagaan dan tidak boleh dikuatkuasakan.

Image from: “Saya takda, saya pun tak tahu…”- Azalina nafi hadir mesyuarat penyingkiran Tuanku Muhriz

Dalam perkembangan sama, Ismail berkata Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan Bilangan 5 Tahun 2026 yang bersidang semalam turut membincangkan penubuhan jawatankuasa pendamai bagi mencari penyelesaian terhadap isu adat secara harmoni dan berlandaskan semangat muafakat.

Kerajaan negeri turut merujuk Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan jaminan terhadap hak dan kedudukan Raja di sisi Perlembagaan.

Pada masa sama, Ismail menzahirkan sokongan penuh serta taat setia tidak berbelah bahagi kepada Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Sebelum ini, empat Undang, Tunku Besar Tampin dan Dato’ Shahbandar Sungai Ujong mendakwa Ismail telah menandatangani dokumen berkaitan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved