
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini media melaporkan lima rakyat Malaysia telah ditahan di Jepun selepas mereka disyaki cuba menyeludup kokain (dadah) yang disembunyikan di dalam kasut ketika melalui Lapangan Terbang Haneda, Tokyo.
Menurut Astro Awani, polis pada 12 Oktober lalu memaklumkan semua individu terbabit ditahan itu dipercayai membawa kokain dianggarkan bernilai AS$57,300 (sekitar RM3.2 juta).
Kerajaan hanya boleh beri bantuan konsular kepada 5 suspek rakyat Malaysia yang ditahan babit kes kokain di Jepun
Terbaharu Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan kerajaan hanya boleh memberikan bantuan konsular kepada lima rakyat Malaysia yang ditahan itu jika ia diperlukan.
Ujar beliau yang mesra dipanggil Tok Mat, kerajaan turut menyerahkan urusan mengenai kes itu kepada pihak berkuasa Jepun.
Tok Mat tegaskan maklumat mengenai individu ditahan di Jepun tidak boleh didapatkan sewenang-wenangnya
Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia tidak boleh sembarangan untuk mendapatkan maklumat berhubung mereka yang ditahan di Jepun.
Perkara itu ekoran dasar privasi serta kerahsiaan negara berkenaan.
Walau bagaimanapun beliau turut menjelaskan keluarga individu yang ditahan perlu mengemukakan permohonan secara bertulis kepada pihak berkuasa Jepun sekiranya mahu pihak kedutaan membuat lawatan konsular untuk memastikan kebajikan suspek terpelihara.
“Kerajaan menegaskan tidak boleh mencampuri urusan undang-undang negara lain, sebaliknya perlu menghormati undang-undang yang berkuat kuasa di negara berkenaan,” jelasnya, lapor Berita Harian.
Pemeriksaan dibuat pegawai kastam menemukan kokain di bawah pelapik kasut 5 individu yang ditahan
Terdahulu, pemeriksaan yang dilakukan oleh pihak pegawai kastam di lapangan terbang telah menemukan bungkusan kokain yang disembunyikan di bawah pelapik kasut lima individu yang ditahan itu.
Salah seorang suspek ditahan yang dikenali sebagai Mohd Danial Farhan Abdul Rahman dilaporkan memaklumkan kepada pihak berkuasa bahawa dia mengenali seorang individu melalui aplikasi di media sosial yang lalu memintanya untuk membawa dadah ke luar negara.
Salah seorang suspek dedah ditawarkan bayaran lumayan untuk bawa dadah ke luar negara
Individu berkenaan didakwa turut menawarkan bayaran yang lumayan sebagai ganjaran serta menyerahkan sepasang kasut kepada suspek untuk digunakan dalam perjalanan terbabit.
Dalam pada itu, pihak berkuasa dan polis di Jepun percaya lima individu yang ditahan itu menerima arahan untuk membawa barang terlarang terbabit masuk ke negara berkenaan.
Justeru itu, pihak berkuasa kini sedang melakukan siasatan kemungkinan penglibatan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa dalam kegiatan berkenaan.
PDRM hantar pasukan siasatan ke Jepun, 5 suspek ditahan bersama 5 kg kokain
Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga bakal menghantar pasukan siasatan ke Jepun ekoran kes tersebut.
Lima individu terbabit ditahan bersama lima kilogram kokain di Tokyo pada 10 Oktober lalu.
Jelas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan pasukan siasatan yang dihantar ke Jepun itu akan melakukan siasatan serta mendapatkan maklumat lanjut berhubung penahanan rakyat Malaysia itu termasuklah rangkaian sindiket dadah Malaysia dan antarabangsa.
JSJN dimaklumkan tentang penahanan 2 lelaki dan 3 wanita warga tempatan di Tokyo
“JSJN dimaklumkan oleh pihak berkuasa Jepun mengenai penahanan dua lelaki dan tiga wanita warga Malaysia di Lapangan Terbang Haneda pada 10 Oktober lalu.
“Pihak Kastam Jepun menemukan lima kilogram kokain yang disembunyikan di dalam pelapik kasut dipakai kelima-lima suspek,” jelasnya, lapor Berita Harian.
Semakan rekod perjalanan ada enam individu, hanya lima individu ditahan & seorang lagi dah pulang ke Malaysia
Beliau turut menjelaskan semakan rekod perjalanan mendapati seramai enam rakyat Malaysia yang berlepas bersama dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 ke Haneda pada 9 Oktober lalu untuk melancong.
Namun hanya lima individu yang ditahan oleh pihak berkuasa Jepun, manakala seorang lagi individu tidak ditahan.
Malah individu itu dilaporkan sudah pulang ke Malaysia. Kata beliau, pihak JSJN bagaimanapun telah mengenal pasti keenam-enam individu yang berusia antara 19 hingga 26 tahun dan ia termasuk dengan seorang individu yang telah pulang ke Malaysia.
Semua tiada rekod jenayah lampau
Semakan rekod turut mendapati kesemua mereka berasal dari Sarawak tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Lima daripada mereka berasal dari Sarawak dan semakan rekod mendapati kesemuanya tidak mempunyai rekod jenayah lampau.”
Sebagai info, media tempatan sebelum ini melaporkan setiap individu yang ditahan dipercayai membawa masuk satu kilogram kokain yang dibahagi kepada dua bungkusan.






