Jangan jadikan RCI sebab hilang keyakinan terhadap Tabung Haji - Jamil Khir

LocalPolitics
30 Jul 2026 • 5:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jangan jadikan RCI sebab hilang keyakinan terhadap Tabung Haji - Jamil Khir
Jamil Khir (kiri) dan Abdul Azeez (kanan) dalam podcast Hitam Putih Kelabu Edisi Khas: RCI Tabung Haji: Ada Sakau? disiarkan menerusi Facebook UMNO Online pada Khamis.

SHAH ALAM - Umat Islam di negara ini diseru agar tidak menjadikan isu berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji sebagai alasan untuk hilang keyakinan terhadap institusi itu kerana tindakan panik hanya akan merugikan pendeposit dan masyarakat Islam sendiri.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Tabung Haji merupakan satu-satunya institusi simpanan haji negara yang menguruskan dana berbilion ringgit milik umat Islam dengan jumlah pendeposit melebihi sembilan juta orang.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, sebarang usaha yang boleh mencetuskan keresahan dalam kalangan pendeposit sehingga mendorong mereka mengeluarkan simpanan secara panik perlu dielakkan.

"Sebab kalau kita bincang yang saat sekarang ini pun, ia akan berlaku kepanikan pengeluaran. Orang-orang ramai yang ada di luar sana, dia bimbang, takut wang hilang dan sebagainya, ia akan menyebabkan pasaran hari ni di Tabung Haji panik.

"Jikalau panik, dia akan mengeluarkan dan orang takut menjauh daripada menyimpan, yang rugi ialah kelompok orang Islam juga. Kita yang terkena.

 

ARTIKEL BERKAITAN: 'RCI Tabung Haji buktikan fitnah saya gadai aset umat Islam tidak benar' – Mujahid

 

 

RCI Tabung Haji: Ahli politik aktif tidak wajar terajui TH

 

"Jadi saya mengajak jangan jadikan isu ini sebagai isu yang menghambat orang Islam dalam konteks perniagaan yang mampu kita lakukan dalam Tabung Haji," katanya

Beliau berkata sedemikian dalam podcast Hitam Putih Kelabu Edisi Khas: RCI Tabung Haji: Ada Sakau? disiarkan menerusi Facebook UMNO Online pada Khamis.

Podcast dikendalikan moderator Raziz Rashid terbabit turut menampilkan Ahli MKT UMNO yang juga bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata, sekiranya kerajaan berpandangan Laporan RCI wajar didedahkan kepada umum, ia perlu dilakukan secara telus supaya tidak terus menimbulkan prasangka terhadap mana-mana pihak.

"Kalau sudah ada RCI, sudah selesai dan juga kerajaan melihat kewajaran supaya ia didedahkan, bukan lagi dijadikan sebagai suatu akta rahsia untuk menyekat dan sebagainya, sila.

"Untuk tujuan supaya jangan ada di sana prasangka dan buruk sangka kepada mana-mana pihak dan termasuk kita nak kerajaan kita telus dalam konteks yang seperti ini," ujarnya lagi.

Jamil Khir menegaskan, ketelusan kerajaan serta pihak pengurusan Tabung Haji termasuk mereka yang pernah terlibat sebelum ini amat penting bagi memastikan keyakinan masyarakat terhadap institusi berkenaan terus terpelihara.

"Jangan ada buruk sangka dan prasangka yang akhirnya merugikan orang Islam sendiri," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved