Jangan leka, terus gilap bakat e-sukan

GamingSports
13 Oct 2026 • 8:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Jangan leka, terus gilap bakat e-sukan

MALAYSIA meraih satu pingat emas, dua perak dan dua gangsa pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 baru-baru ini wajar diraikan.

Malaysia meraih pingat emas menerusi Gran Turismo 7 (GT7), pingat perak menerusi eFootball dan Honor of Kings, serta pingat gangsa menerusi Identity V dan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB).

Pencapaian tersebut membuktikan bahawa kontinjen negara yang dibarisi hampir 99 peratus muka baharu mempunyai potensi besar, sekali gus menggambarkan perkembangan kelompok bakat e-sukan negara.

Namun, kejayaan tersebut menimbulkan persoalan sama ada pencapaian itu mampu dikekalkan atau sekadar kejayaan sementara yang belum menjamin kelangsungan prestasi e-sukan negara.

Ketua Penerangan Persekutuan E-Sukan Malaysia (MESF), Muhammad Issya Md. Salleh berkata, Malaysia mempunyai kelompok bakat dan generasi baharu yang mampu meneruskan cabaran negara.

“E-sukan berkembang dengan sangat pantas. Sebab itu pembangunan kita tidak boleh bergantung kepada satu generasi atau beberapa nama sahaja.

“Kita perlu mempunyai sistem yang sentiasa mencari, membangunkan dan memberikan peluang kepada bakat-bakat baharu untuk sampai ke tahap tertinggi,” katanya kepada Kosmo!

Dalam memastikan pencapaian itu bukan sekadar kejayaan sementara, kesinambungan program pembangunan dan persediaan atlet perlu diberikan perhatian.

Keberkesanan Program Podium turut terserlah apabila ketiga-tiga judul di bawah Program Podium Sepenuh Masa, iaitu GT7, eFootball dan Identity V, berjaya menyumbang pingat kepada negara.

Justeru, Muhammad Issya berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) dapat mempertimbangkan peluasan Program Podium kepada judul e-sukan lain yang berpotensi menyumbang pingat.

“Kejayaan judul e-sukan di bawah program podium menyumbang pingat kepada negara membuktikan keberkesanan program tersebut.

“Saya berpendapat wajar untuk KBS dan MSN memasukkan beberapa judul e-sukan lain yang mempunyai prestasi dan berkeupayaan untuk merebut tempat di podium.

“Bagaimanapun, perkara itu perlu dinilai berdasarkan merit, pencapaian dan potensi setiap judul.

“Pada masa sama, pembangunan akar umbi dan pelapis, pendedahan antarabangsa serta aspek sains sukan, psikologi, nutrisi, analisis prestasi dan kebajikan atlet perlu terus diperkukuh,” katanya.

Selepas Sukan Asia Aichi-Nagoya, tumpuan utama MESF kini beralih kepada Sukan SEA 2027, lebih-lebih lagi Malaysia akan menjadi tuan rumah.
Tempoh kira-kira setahun perlu dimanfaatkan untuk menilai prestasi, memperbaiki kelemahan dan memperkukuh skuad negara.

Menurut Muhammad Issya, persediaan tidak seharusnya hanya bermula apabila temasya semakin hampir, sebaliknya latihan, pertandingan dan pembangunan atlet perlu berjalan secara berterusan.

“Pencapaian satu emas, dua perak dan dua gangsa di Sukan Asia memberikan momentum yang sangat baik kepada kita.

“Selepas Aichi-Nagoya, misi seterusnya adalah Sukan SEA 2027 di laman sendiri.

“Kita mahu menggunakan momentum ini untuk memastikan skuad e-sukan Malaysia benar-benar bersedia dan mampu memberikan pencapaian terbaik buat negara,” katanya.

The post Jangan leka, terus gilap bakat e-sukan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved