Jangan mansuh AUKU sekadar tukar nama akta

LocalPolitics
16 Aug 2026 • 9:03 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jangan mansuh AUKU sekadar tukar nama akta

MELAKA: Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) tidak harus sekadar berakhir dengan pengenalan akta baharu yang membawa nama berbeza tetapi mengekalkan pendekatan sama.

Pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, ukuran sebenar reformasi itu bergantung kepada kandungan dan perincian akta yang bakal menggantikan AUKU.

Katanya, pemansuhan AUKU sememangnya selari dengan usaha memberikan autonomi lebih besar kepada universiti awam supaya institusi berkenaan tidak terus terikat kepada kerajaan.

“Sekarang kita hanya boleh fokus sama ada ia satu bentuk reformasi seperti yang dilaungkan apabila kita tengok akta yang akan menggantikan itu.

“Yang kita tidak mahu adalah ia menjadi bahan politik dan agenda AUKU dihapuskan, tetapi yang menggantikannya hanya nama lain sedangkan perkara yang sama,” katanya kepada pemberita selepas Pengumuman Calon Bersama bagi PRN Melaka di sini semalam.

Rafizi berkata, perbincangan mengenai pemansuhan AUKU bukan perkara baharu kerana usaha memberikan autonomi kepada universiti awam telah dibincangkan ketika beliau berada di Kementerian Ekonomi dalam proses merangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menurutnya, pemberian autonomi kepada universiti secara tidak langsung memerlukan AUKU dihapuskan.

“Memberikan autonomi ini bermaksud mereka boleh menggaji kakitangan sendiri dan mempunyai skim perkhidmatan sendiri.

“Itu secara tidak langsung memang bermakna AUKU perlu dihapuskan.

“Jadi sebenarnya perbincangan untuk menghapuskan AUKU itu memang telah menjadi keputusan kerajaan daripada Rancangan Malaysia Ke-13 lagi dari segi dasarnya,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, terlalu awal untuk menilai keberkesanan pemansuhan berkenaan selagi perincian akta yang akan menggantikan AUKU belum diketahui.

Rafizi berkata, autonomi sebenar sepatutnya membolehkan universiti menguruskan institusi masing-masing secara bebas termasuk dari aspek kewangan dan pentadbiran tanpa campur tangan kerajaan.

“Saya harap ia bukan dibuat sebagai kempen politik tetapi diambil daripada perspektif dasar yang memang kita telah putuskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 iaitu untuk memberi autonomi kepada universiti.

“Mereka tidak perlu menjawab kepada sesiapa. Mereka hanya bertanggungjawab kepada Senat. Tidak perlu tanya menteri, tidak perlu tanya Perdana Menteri.

“Senat melantik Naib Canselor dan mereka menguruskan universiti secara bebas. Saya berharap itulah yang berlaku seperti diputuskan dalam RMK13,” katanya. – UTUSAN

The post Jangan mansuh AUKU sekadar tukar nama akta appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved