'Jangan muncul masa pilihan raya saja'- Tengku Hassanal

LocalPolitics
8 May 2026 • 1:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Jangan muncul masa pilihan raya saja'- Tengku Hassanal
Tengku Hassanal

KUANTAN - Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menitahkan agar setiap wakil rakyat di negeri ini memikul amanah yang diberikan dengan penuh integriti dan dedikasi yang tinggi.

Baginda menegaskan bahawa mandat yang diberikan oleh rakyat perlulah dibalas dengan khidmat bakti yang berterusan.

"Bukannya tunjuk muka menjelang pilihan raya sahaja. Bekerja bersungguh-sungguh.

"Jangan tunggu tahun terakhir pilihan raya baharu hendak tunjuk muka, baharu hendak buat itu dan ini," titah baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini pada Jumaat.

Tengku Hassanal turut mengingatkan para wakil rakyat supaya lebih rajin turun padang dan berurusan terus dengan jabatan kerajaan serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Titah baginda, segala permasalahan rakyat di peringkat akar umbi mestilah diselesaikan dengan cepat, cekap dan berkesan tanpa perlu menunggu aduan tersebut sampai ke pihak istana.

"Jangan sehingga masalah longkang sekolah, anjing liar, benteng pecah dan tebang pokok juga sampai kepada saya. Selesaikan dengan segera.

"Kalau perlu, turun naik jabatan dan agensi, buatlah kerana Yang Berhormat semua ialah wakil yang dipilih oleh rakyat," titah baginda dengan nada tegas.