
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Ahli Parlimen mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) merupakan individu yang diberi mandat oleh rakyat untuk menjadi suara mereka. Bahkan pemimpin ini turut dilantik untuk menjaga kawasan dan penduduk dengan baik termasuklah melakukan penambahbaikan.
Namun ada pula apabila sudah diangkat menjadi pemimpin namun tanggungjawab dilupakan dan hanya mula melakukan hal tersebut apabila tiba musim pilihan raya.
Wakil rakyat perlu jalankan tanggungjawab dengan dedikasi dan berintegriti
Terbaharu Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menegur semua wakil rakyat di Negeri Pahang untuk menjalankan tanggungjawab dengan berdedikasi serta berintegriti.
Bahkan baginda berharap perkara itu dilakukan tanpa menunggu tibanya musim pilihan raya.
Tengku Hassanal dalam ucapannya juga mahu wakil rakyat tersebut bertindak lebih proaktif dalam menyelesaikan hal berkaitan penduduk dengan segera.
“Kalau perlu turun naik jabatan dan agensi, buatlah kerana Yang Berhormat semua adalah wakil dipilih oleh rakyat. Jangan sehingga masalah longkang sekolah, anjing liar, benteng pecah, tebang pokok juga sampai kepada saya.
“Bekerja bersungguh-sungguh. Jangan tunggu tahun terakhir pilihan raya baru nak tunjuk muka, baru nak buat itu dan ini,” titahnya, lapor Harian Metro yang memetik Bernama.
Sarankan amal politik matang
Selain itu, baginda juga berharap semua pihak mengamalkan politik matang selain tidak menggunakan sebarang isu yang boleh menggugat perpaduan pada pilihan raya yang akan datang.
Baginda turut menyifatkan tindakan pihak yang secara sengaja mengundang kepada kebencian antara kaum serta agama merupakan perkara yang tidak boleh diterima sama sekali.
“Saya mahu isu-isu 3R (kaum, agama, dan institusi diraja) ini dihentikan. Semua pihak tanpa mengira latar belakang hendaklah bertanggungjawab dalam setiap tindakan serta menjunjung tinggi nilai hormat, toleransi dan undang-undang.”
Baginda dalam masa sama turut menasihati isu berhubung pembinaan rumah ibadat perlu mengikuti lunas undang-undang dan peraturan yang sudah ditetapkan sama ada ia dibina atas tanah kerajaan atau persendirian.
“Janganlah bertindak ikut emosi dan tidak ada sesiapa boleh mendahului undang-undang dalam menangani perkara-perkara yang boleh menggugat keamanan dan kestabilan negeri,” kata baginda lagi.
