
Sementara menunggu nombor giliran untuk dipanggil di ruang khidmat pelanggan yang diubah suai berkonsepkan moden, sesuai dengan perubahan gaya hidup masyarakat masa kini, gelagat beberapa pengguna yang agak berumur agak kekok menggunakan sistem kod QR untuk mendapatkan nombor giliran, menjadi perhatian penulis.
Ruang legar yang hanya meletakkan mesin untuk mengambil nombor giliran yang perlu diakses menggunakan telefon pintar membuatkan ramai pengunjung berasa kekok, pastinya memerlukan bantuan daripada pengunjung lain.
Sebelum ini, rata-rata rakyat Malaysia berasa selesa dengan khidmat mesra di kaunter tetapi kini, segala transaksi awal untuk mendapatkan khidmat dan layanan daripada kakitangan perlu dilaksanakan secara digital.
Kini sebagai ganti, pengawal keselamatan yang bertugas di situ dilatih sedikit sebanyak untuk membantu pengunjung tetapi selebihnya ia mendorong mereka untuk berdikari menggunakan teknologi terkini yang disediakan.
Bagi gen Z, golongan muda dan mungkin yang biasa menggunakan perkhidmatan ini, segalanya lancar tetapi agak terbantut bagi kumpulan old school (gelaran yang biasa diberikan kepada mereka yang kurang cenderung dengan perubahan teknologi maklumat dan digitalisasi).
Pastinya segala transformasi ini akan membuatkan mereka panik, cepat marah, tidak sabar dan cuba mengelak untuk melakukan sesuatu tugasan tersebut.
Bagaimanapun segala perubahan ini, tidak boleh dielakkan lagi tetapi ia perlu dilalui dan mereka perlu memaksa diri untuk melakukannya samada suka atau tidak.
Antaranya ialah memuat naik MyJPJ , MyDigital ID, aplikasi KWSP, ASNB, bil elektrik, Air Selangor, IWK dan lain lain serta kemudahan perbankan yang memudahkan pengguna membayar bil, memantau transaksi pembelian atau perbankan dengan lebih selamat.
Tetapi kumpulan old school ini masih membuat transaksi pengeluaran duit untuk menyimpan beberapa keping wang di dalam dompetnya, masih memakai telefon pintar versi lama yang tidak dikemas kini malah ada menggunakan telefon pintar sekadar untuk membuat panggilan, menghantar WhatsApp, bergambar dan membuka emel (jika ada) dan juga membuka aplikasi untuk penunjuk arah jalan.
Jangan pandang rendah, dicemuh dan dimarahi kumpulan ini jika mereka agak ketinggalan dalam rutin harian masing-masing kerana mereka bebas dan selesa dengan keadaan semasa kerana mereka tahu tahap keupayaan masing-masing.
Ada yang sedang berusaha keras untuk mengikuti perkembangan termaju itu, jadi berilah mereka peluang untuk bersama-sama berada dalam era perubahan moden ini.
Bagi para majikan, jangan sisihkan mereka kerana kumpulan ini agak terbelakang mengejar perubahan digitalisasi, ada juga yang pastinya bersemangat untuk mempelajari perkara baharu, malah mereka juga menunggu peluang untuk mengikuti kelas bimbingan dan latihan untuk meningkatkan kemahiran berkaitan IT dan digital agar dapat bersama-sama mengejar KPI yang ditetapkan syarikat.
Sebagai rakyat Malaysia yang percaya kepada konsep ‘kita jaga kita’, jangan dijadikan mereka bahan jenaka bila mereka membuat kesilapan dan bagi geng ‘old school’ pula jangan terlalu manja, berdikarilah dan belajarlah untuk membolehkan kita tidak ketinggalan dalam era zaman moden ini.
The post Jangan pandang sinis geng ‘old school’ appeared first on Kosmo Digital.

