Pakatan Harapan (PH) tidak pernah mempertikaikan kuasa institusi diraja dalam soal pengampunan, tegas Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari.
PH faham Agong & Raja-Raja Melayu ada kuasa autoriti
Memetik laporan daripada Utusan Malaysia, Amirudin menyatakan, PH memahami bahawa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mempunyai kuasa serta autoriti penuh dalam perkara berkaitan pengampunan.
“Tak ada pertikaian yang kita bangkitkan, ialah pandangan bahawa kita faham bahawa Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mempunyai wewenang dan autoriti penuh untuk memberikan pengampunan.
“Ia memang telah diperakui dan tak pernah disentuh. Proses berkaitan pengampunan yang dikatakan akan berlangsung juga tidak dihalang oleh mana-mana pihak.
“Saya rasa tak ada masalah. Sebab itu sidang pengampunan yang dikatakan akan berlangsung tidak dihalang. Cuma mungkin ada pandangan. Itu saja. Kita pun sedar sangat dengan wewenang itu,” katanya ketika ditemui selepas sesi libat urus Belanjawan Negeri Selangor.

Foto: FB Amirudin Shari
Pandangan DAP perlu dihormati
Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mendakwa PH cuba meremehkan serta mempertikaikan institusi Raja Melayu demi kepentingan politik.
Amirudin turut menyatakan, pandangan akar umbi DAP yang meminta ahli Parlimen parti itu meletakkan jawatan sebagai menteri sekiranya Datuk Seri Najib Tun Razak diberi pengampunan perlu dihormati.
“Perkara itu saya rasa telah dibincangkan dengan mendalam. Itu mungkin pandangan akar umbi yang kita harus hormati. Dan ada maslahat, ataupun ada keutamaan,” katanya.

Foto: FB Amirudin Shari
Media sebelum ini melaporkan seorang pemimpin DAP Kuala Lumpur menggesa anggota parti itu yang berada dalam Jemaah Menteri supaya meletakkan jawatan sekiranya bekas Perdana Menteri itu diberi pengampunan Diraja.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, PH perlu terus melaksanakan amanah yang diberikan rakyat menerusi pilihan raya lalu, khususnya dengan tempoh kira-kira setahun yang masih berbaki.
Katanya, PH sebagai gabungan yang memperoleh jumlah sokongan tertinggi dalam pilihan raya lalu mempunyai tanggungjawab untuk terus mengemudi kerajaan selain memastikan kestabilan pentadbiran.
Sumber: Utusan Malaysia (Mohd Husni Mohd Noor)






