
PUTRAJAYA – Pakatan Harapan (PH) tidak pernah mempertikai kuasa institusi raja dalam soal pengampunan.
Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, parti itu memahami bahawa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mempunyai kuasa serta autoriti penuh dalam perkara berkenaan.
“Tak ada pertikaian yang kita bangkitkan, ia ialah pandangan bahawa kita faham bahawa Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mempunyai wewenang dan autoriti penuh untuk memberikan pengampunan.
“Ia memang telah diperakui dan tidak pernah disentuh. Proses berkaitan pengampunan yang dikatakan akan berlangsung juga tidak dihalang oleh mana-mana pihak.
“Saya rasa tidak ada masalah. Sebab itu sidang pengampunan yang dikatakan akan berlangsung tidak dihalang. Cuma mungkin ada pandangan. Itu saja. Kita pun sedar sangat dengan wewenang itu,” katanya ketika ditemui selepaas sesi libat urus Belanjawan Negeri Selangor, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan dibuat Setiusaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang mendakwa PH cuba meremehkan dan mempertikai institusi Raja Melayu demi kepentingan politik.
Hari ini, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dijadual mengadakan mesyuaratnya kira-kira pukul 8.30 pagi esok.
Perkara itu disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh yang turut mengakui pihaknya telah dipanggil untuk hadir ke mesyuarat itu esok.
Dalam perkembangan sama, Amirudin berkata, pandangan akar umbi DAP yang meminta Ahli Parlimen parti itu meletakkan jawatan menteri sekiranya Datuk Seri Najib Razak diberi pengampunan perlu dihormati.
“Perkara itu saya rasa telah dibincangkan dengan mendalam. Itu mungkin pandangan akar umbi yang kita harus hormati. Dan ada maslahat, ataupun ada keutamaan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, seorang pemimpin DAP Kuala Lumpur menggesa anggota parti itu dalam Jemaah Menteri meletakkan jawatan sekiranya bekas Perdana Menteri itu diberi pengampunan diraja. – KOSMO! ONLINE
The post PH tidak pernah pertikai kuasa institusi raja – Amirudin appeared first on Kosmo Online.






