
KUALA PILAH: Semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan tidak boleh sama sekali menyalahgunakan kuasa atau kedudukan untuk kepentingan peribadi, keluarga mahupun kenalan, khususnya dalam urusan pemberian tender dan projek kerajaan.
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bertitah, rakyat meletakkan harapan yang tinggi terhadap kerajaan negeri, justeru setiap dasar dan perancangan perlu dilaksanakan secara cekap, telus dan berkesan.
Justeru itu baginda mengingatkan barisan Exco yang baharu agar melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan jujur, adil serta profesional.
“Setiap Exco tidak boleh sama sekali menyalahgunakan kuasa yang diberikan bagi kepentingan peribadi, keluarga mahupun sahabat handai, khususnya dalam membuat keputusan berkaitan pemberian tender atau projek kerajaan.
“Seperti yang pernah Beta titahkan dahulu, negara amat memerlukan pemimpin yang berpendirian tinggi atau persons of honour.
“Menyalahgunakan kuasa dan kedudukan yang ada akan menjurus kepada ketidakadilan serta kerapuhan pelaksanaan sesuatu dasar yang telah dirangka untuk kebaikan rakyat,” titah baginda dalam Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti, di sini hari ini.
Tuanku Muhriz bertitah, kejayaan sesebuah kerajaan bukan hanya diukur menerusi perancangan yang baik, malah keupayaan menyampaikan hasil yang benar-benar dapat dirasai oleh rakyat.
Baginda turut berpesan supaya kerajaan negeri baharu meneruskan kecemerlangan pentadbiran terdahulu, terutama dalam menarik pelaburan berkualiti, meningkatkan hasil pendapatan negeri serta mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi dan pekerjaan.
“Negeri Sembilan telah mencatatkan rekod pelaburan yang tinggi serta peningkatan hasil negeri yang amat membanggakan. Pencapaian ini hendaklah dipertahankan, diperkukuhkan dan terus dipertingkatkan agar manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Negeri Sembilan.
“Pada masa yang sama, segala kelemahan yang masih wujud hendaklah dikenal pasti dan ditambah baik secara berterusan bagi memastikan pentadbiran negeri sentiasa berada pada tahap yang cemerlang, berintegriti dan berkesan,” titah Tuanku Muhkriz. – UTUSAN
The post Jangan salah guna tender demi kepentingan sendiri appeared first on Utusan Malaysia.





