
KUALA PILAH – Kerajaan Negeri Sembilan akan melantik seorang wakil masyarakat India daripada MIC sebagai wakil bertaraf Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bagi memastikan kepentingan pelbagai kaum terus diberi perhatian.
Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, pelantikan berkenaan dibuat susulan tiada wakil masyarakat India dalam barisan 10 Exco yang mengangkat sumpah di Istana Besar Seri Menanti, di sini hari ini.
“Kerana kita tidak ada wakil daripada masyarakat India dalam majlis angkat sumpah hari ini, saya akan melantik seorang wakil daripada pimpinan masyarakat India di bawah Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan yang bertaraf Exco.
“Kita akan lantik seorang wakil masyarakat India, bertaraf Exco dan mewakili MIC,” katanya pada sidang akhbar selepas Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli MMKN Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, hari ini.
Menurut beliau, kerajaan negeri juga sedang mempertimbangkan pelantikan Pegawai Khas Orang Asli di Pejabat Menteri Besar dan akan mengemukakan perkara itu kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk mendapatkan satu nama yang sesuai. – KOSMO! ONLINE
The post Wakil masyarakat India dilantik bertaraf Exco appeared first on Kosmo Digital.





