
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Baru-baru ini, tular di media sosial video sekumpulan wanita Muslim yang menjadi penghantar dulang hantaran atau dulang girls dalam sebuah majlis perkahwinan dipercayai rakan mereka yang beragama Hindu.
Menerusi video tular, kelihatan kumpulan wanita berkenaan membawa dulang kecil yang diletakkan lilin menyala ketika berarak masuk ke dalam dewan.
Rakaman tersebut nyata mendapat perhatian hingga ramai yang mempersoal adakah perbuatan sebegitu boleh dilakukan buat mereka yang beragama Islam.
Malah, ada segelintir yang turut mengecam kumpulan wanita terbabit dengan menganggap ia menyerupai ritual agama tertentu.
Islam Tak Pernah Larang Umat Berbuat Baik Dengan Masyarakat Bukan Islam
Terbaharu, Mufti Pulau Pinang, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman tampil mengulas isu ini.
Jelasnya, penyertaan wanita Muslim dalam majlis perkahwinan bukan Islam perlu dilihat berdasarkan fungsi dan konteks sebenar perlakuan dan bukan berdasarkan rakaman yang dikongsikan.
Jelas beliau, Islam tidak pernah melarang umatnya untuk berbuat baik, menghormati serta menjaga hubungan harmoni dengan masyarakat bukan Islam.
Malah, dalam kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia, menghadiri majlis perkahwinan rakan atau jiran bukan Islam pada asasnya dibolehkan selagi ia tidak melibatkan perkara yang bercanggah dengan syariat.
“Isu yang perlu dibezakan ialah antara menghadiri majlis sosial dengan menyertai sesuatu upacara atau perlakuan yang mempunyai unsur keagamaan seperti jamuan, mengucap tahniah, memberi hadiah dan meraikan persahabatan tidak sama dengan mengambil peranan tertentu dalam suatu ritual,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.
Masyarakat Perlu Hati-Hati Jatuhkan Hukum Hanya Berpandukan Rakaman Video Pendek
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Mohd Sukki menjelaskan masyarakat perlu berhati-hati dari terus menjatuhkan hukum hanya berdasarkan rakaman video pendek.
Jelas beliau, beberapa perbuatan perlu dipastikan terlebih dahulu sebelum menjatuhkan hukum terhadap perbuatan itu.
Anataranya seperti fungsi penyertaan mereka, konteks perarakan serta lampu atau lilin yang dibawa itu sekadar hiasan atau mempunyai ritual keagamaan.
“Hukum terhadap sesuatu perbuatan bergantung pada hakikat dan konteksnya, bukan semata-mata rupa luaran.
“Jika selepas dikenal pasti perbuatan membawa lampu atau lilin dan perbuatan mengiringi pengantin itu adalah sebahagian daripada ritual atau simbol keagamaan Hindu dalam upacara berkenaan, orang Islam hendaklah mengelak penyertaan sedemikian.
“Dalam keadaan itu, ia bukan lagi sekadar persoalan menghormati budaya atau membantu seorang sahabat, tetapi sudah memasuki ruang penyertaan dalam suatu amalan yang mempunyai makna keagamaan,” jelasnya.
Tambah Mohd Sukki, prinsip tersebut adalah selari dengan penjelasan Muzakarah MKI pada 15 Mei 2025 bahawa Islam membezakan hubungan sosial dengan penyertaan serta ritual agama lain.
Jelas beliau lagi, Garis Panduan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga ada menyebut mengenai penyertaan orang Islam dalam perayaan bukan Islam.
Masyarakat Perlu Lihat Konteks & Fungsi Sesuatu Amalan
Antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah penggunaan simbol agama seperti lampu atau lilin apabila ia berada dalam konteks upacara yang bertentangan dengan akidah Islam.
“Kita tidak boleh menggunakan hujah mudah ‘ini cuma budaya’ tanpa terlebih dahulu mengetahui asal, fungsi dan konteks sesuatu amalan.
“Tidak semua budaya mempunyai unsur agama, tetapi tidak semua perkara yang dinamakan budaya pula terpisah daripada agama,” ujarnya.
Malah tambah Mohd Sukki lagi, masyarakat tidak boleh terus membuat kesimpulan bahawa hukumnya haram apabila setiap kali seorang Muslim memegang lilin atau lampu.
Ini kerana ia bukanlah milik eksklusif mana-mana agama namun hukum itu bergantung kepada konteks penggunaannya.
Sebelum ini, isu ini turut menjadi perbincangan di laman Threads. Menurut influencer dan pegawai perubatan, Dr Malar Santhi.
“Dari perspektif agama Hindu, tiada maksud agama atau upacara keagamaan dengan membawa lampu kecil sebagai perarakan pengantin.
“Ia adalah budaya India; Membawa sesuatu yang cantik dalam perarakan pengantin. Ada yang bawak lampu. Ada yang bawak bunga. Ada yang menari. Macam-macamlah.
“Saya tak nak komen boleh atau tidak boleh dari segi agama Islam. Saya cuba memberitahu dari segi agama saya dan budaya saya,” katanya.
Namun, seorang pengguna Threads kurang bersetuju dengan pendapat Dr Malar.
Jelasnya, hampir semua perayaan dan sambutan masyarakat Hindu akan menlibatkan api atau lampu kerana ia adalah simbolik mereka.
“Di sini kami nampak bahawa agama dan budaya telah bercampur dan saling berkait rapat.
“Nak join berarak mengiring pengantin masuk sebab nak meriahkan majlis boleh dengan tangan kosong. Biar yang didepan sahaja yang membawa lampu,” tulisnya.
Kecoh di Threads pasal sekumpulan wanita melayu jadi “dulang girls” join sekali angkat lilin di wedding Hindu.
— Fendi #RobohKuilHaram (@BendiTheBagak) September 6, 2026
Dr Malar kata takde kena mengena dgn agama Hindu tapi bro Ganesh tak setuju dgn Dr Malar dan insist ia tetap kena mengena dgn agama Hindu dan ada maksudnya kalau… pic.twitter.com/cSGgQIAGuz
Baca Artikel Berkaitan: Penglibatan Orang Islam Dalam Majlis Bukan Islam: JAKIM Jelas Sedang Muktamadkan Garis Panduan
Baca Artikel Berkaitan: Apa Hukum Ziarah Rumah Terbuka Bukan Islam? Ini Penjelasan Mufti Pulau Pinang






