Jangan sembunyikan isu keselamatan sekolah demi jaga nama baik – KPN

LocalPolitics
5 Oct 2026 • 8:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Jangan sembunyikan isu keselamatan sekolah demi jaga nama baik – KPN

KUALA LUMPUR, 5 OKT: Sebarang isu berkaitan keselamatan di sekolah tidak seharusnya disembunyikan untuk menjaga nama baik kerana tindakan itu boleh menyukarkan usaha polis menangani sesuatu kejadian, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail.

Beliau berkata hubungan rapat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak sekolah perlu diperkukuh bagi memastikan sebarang perkara yang berlaku dapat disampaikan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Kadangkala mungkin ada tindakan cuba menyembunyikan isu-isu bagi menjaga nama baik pihak tertentu. Tetapi saya percaya hubungan ini kalau kita pertingkatkan dan eratkan dapat membantu menyelesaikan masalah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Buku Panduan Jururunding PDRM di Mes Pegawai PDRM Bukit Aman, di sini hari ini.

Mohd Khalid berkata keselamatan di sekolah tanggungjawab bersama melibatkan PDRM, pihak sekolah, Kementerian Pendidikan serta ibu bapa, termasuk pegawai perhubungan sekolah yang sentiasa mengadakan lawatan dan berhubung dengan pihak berkuasa sekolah.

Mengulas kes kematian pelajar berusia 16 tahun di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor, beliau berkata masih ada perkara yang belum dapat dipastikan dan polis perlu menjalankan siasatan menyeluruh sebelum sebarang kesimpulan dibuat berhubung punca kejadian.

Mohd Khalid berkata PDRM turut bekerjasama dengan pihak sekolah serta persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) dalam memperkukuh langkah keselamatan, termasuk cadangan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) selain peningkatan rondaan oleh Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) serta hubungan antara polis dan pihak sekolah.

Sementara itu, Mohd Khalid berkata PDRM memperkasa Sel Jururunding yang ditubuhkan dua tahun lepas dengan memperkenalkan buku panduan sebagai rujukan kepada pegawai dalam melaksanakan tugas rundingan ketika berdepan situasi krisis.

Beliau berkata sel di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) itu kini mempunyai kira-kira 40 pegawai daripada pelbagai jabatan yang dipilih berdasarkan pengalaman dan keupayaan masing-masing serta sentiasa bersiap siaga untuk digerakkan sekiranya berlaku krisis yang memerlukan kepakaran rundingan.

"Jika berlaku krisis seperti penculikan, kita memerlukan nasihat dan pandangan atau untuk menjalankan perundingan antara pihak-pihak berkaitan, kita akan panggil pegawai-pegawai berkenaan untuk melaksanakan perundingan itu," katanya.

Beliau berkata Sel Jururunding turut bekerjasama dengan bahagian lain dalam PDRM berdasarkan keperluan sesuatu kes serta pernah dijemput oleh Polis Diraja Brunei untuk menyampaikan syarahan dan berkongsi pengalaman berkaitan pengurusan serta penyelesaian krisis.

Sementara itu, Timbalan Pengarah KDNKA, Bukit Aman yang juga Komandan Sel Jururunding Datuk M.V Srikumar Nair berkata tiada tempoh masa tindak balas standard ditetapkan bagi setiap kes kerana tempoh berkenaan bergantung kepada keadaan dan keunikan sesuatu insiden.

"Setiap kes unik, ada kes yang kita dapat maklumat dengan cepat dan ada yang mengambil masa. Jadi, tiada masa respons standard untuk itu," katanya.

-- BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved