
PETALING JAYA: Tragedi kematian seorang pelajar Tingkatan Empat di Yong Peng, Johor mencetuskan gelombang kebimbangan baharu dalam kalangan ibu bapa, sekali gus bertanyakan sejauh mana tahap keselamatan di sekolah awam pada hari ini.
Pengerusi Pertubuhan Negarawati Tanahair, Bibi Sunita S. Khan berkata, insiden berulang itu tidak boleh sekadar disusuli dengan ucapan takziah dan pengumuman jawatankuasa siasatan, sebaliknya menuntut tindakan konkrit serta-merta daripada Kementerian Pendidikan (KPM).
Menurut beliau, isu keselamatan sekolah kini bukan lagi sekadar prosedur operasi standard (SOP), sebaliknya mula menyentuh jurang kesaksamaan pendidikan yang menghimpit golongan kurang mampu.
“Hari ini mungkin ada ibu bapa yang mula terfikir untuk mengajar anak di rumah atau home-schooling kerana hilang keyakinan.
“Namun, kaedah tersebut bukanlah satu pilihan yang mudah untuk semua keluarga disebabkan syarat ketat KPM serta kekangan ekonomi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Semalam, media melaporkan, tiga pelajar berusia 16 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes penemuan mayat seorang pelajar iaitu Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal.
Dalam kejadian itu, mangsa ditemukan neneknya di kawasan sekolah selepas menyedari cucunya tidak pulang ke rumah selepas menghadiri kelas tambahan.
Mengulas lanjut, Bibi berkata, keluarga yang berkemampuan mungkin mempunyai alternatif seperti sekolah swasta, namun situasi berbeza buat keluarga B40, ibu tunggal, atau pasangan suami isteri yang kedua-duanya perlu bekerja.
Katanya, golongan tersebut tidak sepatutnya dipaksa memilih antara mencari rezeki dan keselamatan nyawa anak mereka.
Beliau turut mempersoalkan keberkesanan Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat 2026 yang dikeluarkan KPM serta penubuhan jawatankuasa khas sebelum ini, memandangkan insiden berdarah masih lagi berulang dalam kawasan persekolahan.
Beliau mempersoalkan sama ada kelemahan berpunca daripada SOP yang tidak mencukupi atau akibat kegagalan pelaksanaannya di peringkat lapangan.
“Di manakah kelemahannya? Adakah SOP tidak mencukupi, atau pelaksanaannya yang gagal?
“Setiap kali tragedi berlaku, kita tidak boleh sekadar mengeluarkan ucapan takziah, mengumumkan siasatan, kemudian menunggu sehingga berlaku kejadian seterusnya,” katanya.
Bibi mendesak Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek untuk mengambil tanggungjawab kepimpinan penuh dengan memulihkan semula keyakinan rakyat melalui tindakan nyata yang boleh dilihat hasilnya.
“Menteri Pendidikan, rakyat mahukan tindakan yang boleh dilihat hasilnya bukan sekadar tindakan selepas tragedi berlaku. Sekolah sepatutnya menjadi tempat anak-anak belajar, membesar, berkawan dan mengejar cita-cita.
“Bukan tempat ibu bapa menghantar anak dengan ketakutan. Keselamatan anak-anak kita bukan isu politik. Ia adalah amanah negara. KPM mesti bertindak dan mesti memulihkan semula keyakinan rakyat bahawa sekolah kita selamat,” katanya. – UTUSAN
The post Jangan sampai ibu bapa takut hantar anak ke sekolah appeared first on Utusan Malaysia.






