
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap isu buli di sekolah, sambil mengingatkan pihak pentadbiran sekolah supaya tidak menyembunyikan kes semata-mata untuk menjaga imej institusi.
Perdana Menteri berkata, sikap menutup kejadian buli bagi mengelakkan persepsi negatif terhadap sekolah hanya akan menyebabkan masalah itu berlarutan dan memberi kesan kepada mangsa.
Menurut beliau, tindakan pengetua atau guru besar yang tampil melaporkan kejadian perlu dihormati kerana keutamaan adalah memastikan keselamatan serta kebajikan murid, bukannya mempertahankan reputasi sekolah.
“Tidak bermakna apabila berlaku satu kes yang menjadi perhatian seluruh negara, sekolah itu gagal. Saya tidak melihatnya begitu.
“Kalau guru besar memilih untuk mendedahkan (kes), saya hormat dia. Jangan hanya fikir hendak melindungi imej sekolah, menjaga prestasi atau mengelakkan pandangan negatif.
“Adakah kita sanggup menanggung dosa itu hanya kerana mahu menutup kes?” katanya ketika berucap pada majlis bersama warga pendidikan di sini hari ini.
Anwar berkata, walaupun keadaan dilihat semakin reda, kejadian buli sama ada kecil atau besar masih berlaku dan perlu ditangani segera sebelum menjadi budaya yang mencetuskan keganasan.
“Apakah ia mulai reda? Mungkin. Tetapi adakah masalah itu masih berlaku? Ya.
“Kecil atau besar, tidak boleh. Kezaliman itu bermula di situ. Tindakan ganas, gopoh dan zalim bermula daripada perkara seperti ini. Sebab itu di peringkat awal lagi ia mesti dibetulkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pihak sekolah supaya memberi perhatian terhadap isu asas yang memberi kesan kepada kesejahteraan murid termasuk kebersihan tandas dan kehadiran guru.
Katanya, maklum balas yang diterima secara langsung daripada murid setiap kali menghadiri solat Jumaat di masjid sering mendedahkan keadaan sebenar di sekolah yang kadangkala berbeza dengan laporan rasmi.
“Saya suka bertanya sendiri kepada anak-anak sekolah kerana mereka bercakap secara jujur,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta semua pengetua dan guru besar menjadikan kebajikan murid sebagai keutamaan serta bertindak segera menyelesaikan setiap isu yang dibangkitkan tanpa mengira sekecil mana sekalipun.-UTUSAN
The post Jangan sorok kes buli demi jaga imej sekolah – PM appeared first on Utusan Malaysia.






