
SHAH ALAM, 28 JULAI: Pihak sekolah diingatkan tidak melindungi atau menyembunyikan kejadian buli semata-mata untuk menjaga imej dan prestasi institusi pendidikan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakan menyembunyikan insiden hanya akan membiarkan kezaliman terus berulang sekali gus menjejaskan keselamatan murid dan pelajar, lapor Berita Harian.
“Pentadbir sekolah perlu bersikap telus dalam mengendalikan kes disiplin. Saya mengingatkan pengetua dan guru besar supaya mengambil perkara ini sebagai satu sikap yang sangat penting. Tidak bermakna apabila satu kes berlaku dan dihebahkan, sekolah itu gagal.
"Kalau guru besar memilih untuk mendedahkan kes itu, saya hormat kerana dia tidak cuba melindungi semata-mata hendak menjaga imej sekolah atau prestasi sekolah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Bersama Warga Kementerian Pendidikan (KPM), di Putrajaya hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, ibu bapa tidak sepatutnya dipaksa menerima hakikat bahawa anak mereka berasa takut untuk ke sekolah akibat dibuli atau didera, sama ada membabitkan kes kecil atau serius.
"Bagaimana kita sebagai bapa dan datuk boleh terima anak cucu kita masih resah untuk ke sekolah kerana ada buli atau penderaan? Jadi anak dia dera, kita nak tanggung dosa itu.
"Sebab itu saya minta supaya ada perubahan. Mungkin keadaan semakin reda, tetapi masalah itu masih berlaku. Kecil atau besar, tidak boleh dibiarkan kerana kezaliman itu bermula di situ," katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa setiap bentuk keganasan dan kezaliman perlu dibendung dari peringkat awal sebelum berkembang menjadi masalah yang lebih besar.
"Tindakan ganas, gopoh dan zalim bermula di situ. Sebab itu di pangkalnya mesti dibetulkan, betapa besar atau kecil sekalipun," katanya.






