
PETALING JAYA: Beberapa kawasan perumahan di Lembah Klang yang mempunyai rekod banjir berulang kini berdepan penyusutan permintaan pembeli, malah ada pemilik terpaksa menunggu lebih lama untuk menjual hartanah selain menawarkan harga lebih rendah berikutan persepsi negatif terhadap risiko bencana itu.
Perunding Kanan Hartanah ERA Realtor Sdn. Bhd., Md. Zurolhisham Ahmad berkata, berdasarkan pengalamannya mengendalikan urus niaga hartanah di Lembah Klang, antara kawasan yang kini paling terkesan ialah Taman Sri Muda dan Seksyen 25 di Shah Alam, Kampung Lombong, Seksyen 24 Shah Alam, selain beberapa lokasi di Meru, Kapar, Bukit Tinggi dan Taman Sentosa di Klang serta kawasan tertentu di Dengkil (berhampiran sungai).
Menurut beliau yang lebih dikenali sebagai Zack Properties dalam bidang hartanah, walaupun kawasan-kawasan tersebut masih mempunyai permintaan, pembeli kini lebih berhati-hati sebelum membuat keputusan kerana mahu memastikan hartanah yang dibeli tidak lagi berdepan risiko banjir pada masa hadapan.
“Mereka bukan lagi sekadar melihat harga atau lokasi, sebaliknya akan bertanya sama ada rumah pernah dilanda banjir, berapa kali kejadian berlaku, setinggi mana paras air dan sama ada masalah itu telah diselesaikan menerusi projek tebatan banjir.
“Jika ejen hartanah tidak dapat memberikan jawapan yang meyakinkan, proses jual beli biasanya menjadi lebih perlahan dan rundingan harga juga lebih sukar,” katanya ketika dihubungi.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan nilai hartanah di Lembah Klang yang kerap dilanda banjir boleh menyusut sehingga 30 peratus sekiranya masalah itu terus berulang tanpa penyelesaian jangka panjang.
Anggaran tersebut merupakan purata kasar dan kadar penyusutan sebenar bergantung kepada tahap keterukan banjir serta faktor setempat yang perlu dinilai secara lebih terperinci.
Md. Zurolhisham menjelaskan, setiap hartanah dinilai berdasarkan keadaan dan lokasi spesifik.
Menurutnya, penyusutan ketara hanya berpotensi berlaku sekiranya sesuatu kawasan berdepan banjir berulang kali, rumah pernah dimasuki air beberapa kali, tiada penyelesaian tebatan banjir yang berkesan serta persepsi pembeli terhadap kawasan tersebut terus kekal negatif.
“Sebagai ejen hartanah, saya tidak akan terus mengatakan sesuatu kawasan sudah susut beberapa peratus. Kesan terhadap nilai hartanah bergantung kepada kekerapan banjir, tahap kerosakan, lokasi spesifik dan keberkesanan projek tebatan.
“Kesan terhadap nilai hartanah bergantung kepada kekerapan banjir, tahap kerosakan, lokasi spesifik dan keberkesanan projek tebatan. Di sesetengah kawasan yang mengalami banjir berulang, nilai boleh terjejas dengan ketara dan tempoh jualan menjadi lebih panjang,” katanya.
Menurut beliau, selain kawasan berisiko tinggi, terdapat beberapa lokasi yang dikategorikan sebagai berisiko sederhana, antaranya sesetengah lokasi di Kota Kemuning, Puchong Perdana, Puchong Prima serta beberapa kawasan lain di Puchong, selain Taman Medan, Kampung Cempaka, beberapa kawasan di Petaling Jaya, Kajang dan Hulu Langat (beberapa kawasan perumahan).
Katanya, pembeli masih berminat terhadap hartanah di kawasan berkenaan, namun mereka lazimnya akan membuat semakan lebih terperinci mengenai sejarah banjir sebelum menandatangani sebarang urus niaga.
Tambahnya, keadaan berbeza dapat dilihat di kawasan yang secara umumnya tidak dikaitkan dengan kejadian banjir berulang seperti Bandar Utama, Mutiara Damansara, Damansara Utama, Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), Ara Damansara dan kebanyakan kawasan di Setia Alam.
Katanya, walaupun banjir kilat boleh berlaku di lokasi tertentu, kawasan berkenaan masih menikmati permintaan yang stabil kerana pembeli mempunyai keyakinan lebih tinggi terhadap aspek keselamatan serta prospek kenaikan nilai hartanah.
“Secara umum masih mempunyai permintaan yang baik kerana tidak dikaitkan secara meluas dengan banjir berulang, walaupun banjir kilat boleh berlaku di lokasi tertentu,” katanya.
Mengulas pasaran di Petaling Jaya, Md. Zurolhisham berkata, rumah yang mempunyai rekod banjir berulang boleh dijual pada harga antara lima hingga 20 peratus lebih rendah berbanding hartanah setara di kawasan berhampiran yang tidak pernah dilanda banjir.
“Bagaimanapun, jika banjir hanya berlaku sekali akibat hujan luar biasa dan projek tebatan telah disiapkan, kesannya terhadap nilai hartanah biasanya lebih kecil dan banyak bergantung kepada persepsi pembeli,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan bakal pembeli supaya menyemak sejarah banjir bagi alamat yang ingin dibeli, memastikan kawasan tersebut berada dalam pelan projek tebatan banjir yang sedang atau telah disiapkan serta melawat kawasan selepas hujan lebat bagi menilai sendiri keadaan sistem saliran. – UTUSAN
The post Kawasan risiko tinggi banjir di Lembah Klang makin sukar dijual appeared first on Utusan Malaysia.





