Jangan sorok kes buli untuk jaga imej sekolah - PM

LocalPolitics
28 Jul 2026 • 10:33 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jangan sorok kes buli untuk jaga imej sekolah - PM
Anwar menyampaikan ucapan pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Pendidikan di Putrajaya. Foto Bernama

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri sekali lagi mengingatkan pihak pentadbiran sekolah supaya tidak menyembunyikan kes buli semata-mata untuk menjaga imej institusi.

Berucap di Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, walaupun keadaan dilihat semakin reda, kejadian buli sama ada kecil atau besar masih berlaku dan perlu ditangani segera sebelum menjadi budaya yang mencetuskan keganasan.

"Saya mengingatkan pengetua dan guru besar supaya mengambil perkara ini sebagai satu sikap yang sangat penting. Tidak bermakna apabila satu kes berlaku dan dihebahkan, sekolah itu gagal.

"Kalau guru besar memilih untuk mendedahkan kes itu, saya hormat kerana dia tidak cuba melindungi semata-mata hendak menjaga imej sekolah atau prestasi sekolah," katanya di sini pada Selasa.

Anwar berkata, pengetua dan guru besar perlu menjadikan usaha membanteras buli sebagai keutamaan selain memastikan kebajikan serta keselamatan murid sentiasa dipelihara.

Menurutnya, beliau menghormati pentadbir sekolah yang berani mendedahkan sesuatu kes tanpa cuba melindunginya demi menjaga nama baik sekolah.

"Saya hormat dia kerana dia tidak cuba melindungi, ini nak jaga imej sekolah, nak jaga prestasi sekolah, nak jaga kononnya supaya jangan ada pandangan negatif.

"Jadi anak tidak kita nak tanggung dosa itu. Sebab itu saya minta supaya ada perubahan," jelas beliau.

Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa kemudahan asas di sekolah seperti tandas yang bersih dan selamat juga perlu diberikan perhatian serius kerana ia memberi kesan langsung kepada kesejahteraan murid.

"Bagaimana kita sebagai bapa dan saya sebagai atuk boleh terima anak cucu kita itu masih rasa resah atau susah hendak ke sekolah sebab ada buli.

"Bagaimana kita hantar anak ke sekolah dalam keadaan tandas yang kotor. Itu hal-hal yang fundamental," katanya.

Anwar berkata, beliau sendiri sentiasa mendapatkan maklum balas secara terus daripada pelajar ketika bertemu dengan golongan itu pada solat Jumaat setiap minggu bagi mengetahui keadaan sebenar di lapangan.

Menurutnya, pandangan pelajar sering kali lebih jujur berbanding laporan rasmi yang diterima daripada pelbagai peringkat pentadbiran.

"Saya pergi tiap hari Jumaat, yang paling susah hati Menteri Pendidikan sebab saya dapat input daripada anak-anak sekolah dan universiti.

"Mereka cukup bercakap lurus. Kalau tanya budak Tingkatan 2, tandas berapa rosak, dia akan jawab terus.

Kalau tanya pihak lain, jawapannya mungkin sedang dibaiki. Itu bezanya," katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan terus memberi perhatian kepada isu-isu asas di sekolah termasuk keselamatan murid, kebersihan, disiplin dan persekitaran pembelajaran supaya institusi pendidikan benar-benar menjadi tempat yang selamat serta kondusif untuk semua pelajar.

Sebelum ini, kerajaan dan KPM berulang kali menegaskan pendirian sifar toleransi terhadap sebarang bentuk buli di institusi pendidikan serta mengarahkan tindakan tegas diambil terhadap pelaku mengikut peraturan yang berkuat kuasa.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved