Jangan tekan Azizulhasni untuk berlumba di LA28 - Khairy

3 May 2026 • 1:59 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Azizulhasni Awang. Foto Bernama

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang tidak sepatutnya diberi tekanan untuk terus berlumba sehingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28), kata bekas Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan berkata, perkara berkenaan perlu diserahkan sepenuhnya kepada pelumba berusia 38 tahun itu untuk dibincangkan bersama keluarga.

"Sebab saya rasa kalau kita bagi tekanan kepada beliau untuk sampai ke LA28, bagi saya tidak adil. Sebab usia Azizulhasni hampir nak masuk 40 tahun dan beliau sudah banyak berkorban masa.

"Bagi saya beliau akan pergi sampai Sukan Asia dan selepas itu Azizulhasni kena bincang masa depannya bersama keluarga,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Makan Malam PKBM di sini malam tadi.

Khairy berkata, beliau menyarankan supaya ikon berbasikal trek itu menerima sokongan yang diperlukan sebagai seorang atlet elit sekiranya Azizulhasni membuat keputusan untuk meneruskan kerjaya sehingga LA28,

"Mengurus seorang atlet berumur ini bukan perkara senang. Mereka ini terdedah kepada kecederaan dan pemulihan mereka mengambil masa yang lama.

"Jadi, sekiranya Azizulhasni mahu bertanding sehingga LA28, kita kena bantu beliau termasuk beri sokongan dari sudut sains sukan serta rawatan sekiranya dia cedera,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan pelumba yang mendapat julukan ‘The Pocket Rocketman’ belum bersedia membuat keputusan sama ada akan meneruskan karier sehingga ke LA28, sambil menegaskan banyak faktor perlu dipertimbangkan.

Menurut pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo itu, walaupun banyak pihak termasuk PKBM dan agensi sukan tempatan mahu melihat dia beraksi di Olimpik keenam, pengorbanan peribadi menjadi keutamaan. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved