Jangan terlalu sibuk mengira gula-gula orang lain – Mahfuz

LocalPolitics
12 Oct 2026 • 3:16 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jangan terlalu sibuk mengira gula-gula orang lain – Mahfuz

PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar mencabar Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan kemajuan sebenar projek mega yang diumumkan di negeri itu sejak 2020.

Mahfuz berkata, tindakan Sanusi melabel Belanjawan 2027 sebagai ‘bajet gula-gula’ menimbulkan persoalan sama ada bantuan yang benar-benar sampai kepada rakyat kurang bermanfaat berbanding pengumuman projek bernilai berbilion ringgit.

“Apakah salahnya kerajaan memberikan gula-gula kepada rakyat jika bantuan itu benar-benar sampai kepada mereka? Bukankah lebih baik daripada rakyat terus menunggu hasil projek mega yang diumumkan sejak 2020?” katanya dalam kenyataan.

Menurut Mahfuz, bantuan kepada pelajar, usaha meningkatkan pendapatan rakyat, projek tebatan banjir dan penambahbaikan kemudahan awam merupakan tanggungjawab kerajaan, bukannya semata-mata usaha memancing undi.

Katanya, rakyat tidak dapat membayar bil air hanya dengan angka pelaburan berbilion ringgit, menyekolahkan anak dengan pengumuman projek atau menikmati pembangunan sekadar melihat gambar dan papan tanda.

Beliau turut mempersoalkan hasil pelbagai rancangan pembangunan Kedah, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), projek kereta api berkelajuan tinggi di Langkawi yang menurutnya dibatalkan serta rancangan litar lumba yang pernah diumumkan.

“Kita tidak menolak pembangunan mega untuk Kedah, tetapi jangan sampai pengumuman projek lebih laju daripada pelaksanaannya.

“Rakyat mahu tahu bila projek bermula, bila siap dan bila mereka boleh menikmati hasilnya. Kejayaan bukan diukur berdasarkan jumlah sifar dalam angka pelaburan, tetapi berapa banyak masalah rakyat berjaya diselesaikan,” katanya.

Mahfuz berkata, bantuan Kerajaan Madani yang sampai kepada rakyat Kedah turut memberikan manfaat kepada penduduk negeri itu dan tidak sepatutnya diperlekeh hanya kerana perbezaan politik.

Sehubungan itu, Mahfuz mencabar Sanusi menjawab sama ada bantuan yang diterima rakyat hari ini kurang berguna berbanding projek berbilion ringgit yang hasilnya masih dinantikan.

“Jangan terlalu sibuk mengira gula-gula orang lain sehingga terlupa memeriksa sama ada janji sendiri sudah menjadi kenyataan.

“Rakyat tidak makan sindiran. Mereka perlukan hasil. Jika bantuan disebut gula-gula, pastikan rakyat menikmatinya. Jika projek mega disebut pembangunan, pastikan rakyat melihat hasilnya, bukan sekadar pembungkus janji,” katanya. – UTUSAN 

 

The post Jangan terlalu sibuk mengira gula-gula orang lain – Mahfuz appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved