SETIAP kali musim haji, antara isu yang kembali berulang ialah tawaran perkhidmatan badal haji pada harga terlalu rendah, khususnya di bawah RM9,500.
Walaupun kelihatan menarik, hakikatnya modus operandi ini tidak banyak berbeza daripada penipuan lain, cuma ia menyentuh soal ibadah yang merupakan rukun Islam kelima.
Sehubungan itu, umat Islam diingatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan tawaran badal haji yang mencurigakan, terutama apabila harga ditawarkan jauh lebih rendah daripada kos sebenar pelaksanaan ibadah tersebut di Tanah Suci.
Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir menjelaskan, kadar tersebut menimbulkan keraguan memandangkan pakej haji untuk pemastautin di Arab Saudi sendiri mencecah sekitar 9,000 hingga 10,000 riyal.
Menurutnya, perbezaan harga yang ketara menjadikan tawaran badal haji terlalu murah wajar dipersoalkan kesahihannya.
Hakikatnya, kos tinggi untuk menunaikan haji bukan sekadar melibatkan perjalanan, tetapi merangkumi logistik, penginapan, pengangkutan dan pematuhan ketat terhadap peraturan pihak berkuasa Arab Saudi.
Apabila ada pihak menawarkan harga jauh lebih rendah, timbul persoalan sama ada ibadah itu benar-benar dilaksanakan mengikut rukun dan syarat sah atau sekadar janji tanpa pelaksanaan.
Dalam konteks ini, risiko bukan sahaja kerugian wang malah lebih besar ialah ibadah yang diharapkan tidak sempurna atau tidak dilaksanakan langsung.
Tambahan pula, tindakan pihak berkuasa Arab Saudi yang semakin tegas terhadap jemaah tanpa permit menunjukkan ruang untuk manipulasi semakin sempit, sekali gus meningkatkan kebarangkalian tawaran murah itu tidak sah.
Maklumat mengenai penipuan badal haji kini banyak disebarkan melalui pelbagai saluran termasuk media dan hebahan pihak berkuasa, malah boleh diakses dengan mudah melalui carian di internet.
Oleh itu, pastikan setiap maklumat berkaitan perkhidmatan yang ditawarkan disemak dengan teliti, jangan mudah terpedaya dan ambillah pengajaran daripada kes-kes terdahulu.
Pendekatan paling selamat ialah mendapatkan perkhidmatan badal haji melalui saluran yang diiktiraf serta membuat semakan teliti kerana dalam soal ibadah, harga murah tidak seharusnya menjadi keutamaan berbanding kesahihan dan kesempurnaan pelaksanaan.






