Jangan terperangkap budaya selesa – PM

LocalPolitics
26 Aug 2026 • 5:36 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jangan terperangkap budaya selesa – PM
Anwar ketika hadir ke Majlis Peluncuran Sambutan Ulang Tahun ke-80 TM di Universiti Multimedia (MMU) hari ini - Foto: Bernama

CYBERJAYA – Perdana Menteri mengingatkan semua pihak agar tidak terperangkap dalam budaya selesa atau culture of contentment meskipun berada pada tahap pencapaian yang membanggakan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, budaya berkenaan boleh menyebabkan sesebuah organisasi atau negara menjadi lemah sekiranya terlalu berpuas hati dengan pencapaian sedia ada, selain terus bertolak ansur dengan kelemahan dan kerosakan.

“Jadi sebab itu harus ada tekad, lawan this culture of contentment, budaya selesa,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Sambutan Ulang Tahun Telekom Malaysia (TM) ke-80 di sini pada Rabu.

Menurut beliau, budaya selesa dengan pencapaian semasa boleh menyebabkan sesebuah negara, agensi atau syarikat menjadi lemah dan hambar sekiranya tiada tekad untuk terus melakukan pembaharuan.

“Kadang-kadang kalau ada agensi atau syarikat rugi RM10 bilion, RM12 bilion, tapi kita masih kata, ‘Okay, tak ada apa-apa, biasa.’ Biasa apa biasa? Tak boleh.

“Ini budaya yang akan menyebabkan kita bukan selesa rugi. Disebabkan itu harus ada tekad,” jelasnya.

Anwar berkata, Malaysia tidak mungkin mampu meningkatkan martabat negara sekiranya terus mengekalkan keadaan lama yang lembap, selain dibelenggu kebobrokan sistem dan kemalasan.

“Maka harus dipacu dengan lebih kukuh dan dipastikan tahap kemajuan itu lebih laju dan pantas daripada biasa,” jelasnya.

Tegas beliau, perkembangan teknologi kini berlaku pada kadar yang semakin pantas, justeru generasi baharu perlu diberikan pendedahan kepada ilmu, disiplin dan penerokaan bidang yang sebelum ini tidak terjangkau.

Katanya, TM juga tidak boleh sekadar melihat dirinya sebagai pewaris Jabatan Telekom, sebaliknya perlu menggalas tanggungjawab lebih besar seiring dengan keperluan negara yang sedang memasuki era digital dan kecerdasan buatan (AI).

Anwar berkata, beliau bangga kerana TM antara pihak yang pantas menyambut perkembangan transformasi digital dan AI, namun momentum itu perlu diteruskan dengan penerokaan teknologi strategik baharu.

“Kita bicara baru-baru ini tentang Quantum Computing yang memerlukan juga suntikan dan pengalaman saudara.

“Kita tubuhkan umpamanya TM Cyber Defense Centre, kerana ini keperluan pertahanan negara,” katanya.

Menurut beliau, TM perlu terus berkembang bukan sekadar untuk merentasi generasi, malah memainkan peranan yang relevan dalam perubahan teknologi yang berlaku pada kadar yang semakin pantas.

Dalam pada itu, Anwar turut mengimbau pengalaman ketika menjadi Menteri Kewangan pada era 1990-an ketika keputusan untuk menswastakan Jabatan Telekom dibuat.

Beliau berkata, penswastaan lazimnya dikaitkan dengan usaha meningkatkan kecekapan dan keuntungan serta memberi faedah kepada syarikat baharu, namun perkara itu tidak seharusnya menjadi satu-satunya asas pertimbangan.

Ujar Anwar, kebajikan pekerja perlu diberi perhatian, termasuk soal perumahan, gaji dan upah yang lebih lumayan serta pendidikan dan kebajikan anak-anak mereka.

“Fokus keuntungan, kecekapan, tidak dipertikai. Tapi pertama sekali, kebajikan pekerja,” katanya.

Anwar berkata, pendekatan berkenaan penting bagi memastikan proses penswastaan tidak hanya meningkatkan kedudukan golongan atasan, sebaliknya turut memberi pulangan dan manfaat kepada pekerja.

“Malaysia ini punya potensi yang luar biasa. Maka manfaatkanlah, dan jaga, dan selamatkan dengan tekad bersama untuk mengangkat martabat, harkat dan darjat (negara),” katanya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved