Jangan tunduk tekanan politik

LocalPolitics
19 Sep 2026 • 6:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jangan tunduk tekanan politik

PUTRAJAYA: Kerajaan Negeri Sembilan dan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim perlu mengambil pendirian lebih tuntas dalam menangani kemelut membabitkan institusi diraja di negeri itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan negeri tidak seharusnya berdolak-dalik atau tunduk kepada tekanan politik kerana perkara itu menyentuh sistem Raja Berperlembagaan.

“Sebarang usaha atau usul yang melibatkan kedudukan raja bukan perkara kecil dan perlu ditangani dengan penuh tertib serta mematuhi peruntukan undang-undang dan Perlembagaan.

“Kita dalam negara tertegak dengan sistem Perlembagaan, menjunjung sistem beraja dan kalau dipermudahkan, ia akan menimbulkan banyak masalah.

“Saya harap kerajaan negeri, Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim lebih tuntas pendirian, tidak berdolak-dalik dan tidak tunduk kepada tekanan-tekanan politik kerana ini soal Raja Berperlembagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Nur Perdana, Presint 10, di sini semalam.

Anwar berkata demikian ketika mengulas perkembangan kemelut institusi diraja di Negeri Sembilan serta kenyataan yang dikeluarkan Peguam Negara berhubung perkara itu.

Anwar berkata, beliau tidak menolak prinsip perundangan dan adat yang terpakai di Negeri Sembilan berhubung sistem pelantikan Yang di-Pertuan Besar dan Undang.

Bagaimanapun, katanya, semua pihak perlu memastikan setiap peraturan dan kaedah yang ditetapkan dipatuhi sepenuhnya tanpa sebarang pengecualian.

“Perkara paling penting ketika ini ialah memastikan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan tidak tergugat.

“Kita hendaklah tentukan peraturan dipatuhi sepenuhnya, kaedah diikuti. Dan yang penting bagi kita sekarang ini, kedudukan Yang di-Pertuan Besar tidak tergugat,” katanya.

Beliau turut mendoakan agar Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan terus dapat menjalankan tanggungjawab dan bersemayam dengan baik demi kestabilan negeri.

Anwar turut mengingatkan semua pihak supaya menghormati proses dan saluran yang ditetapkan sekiranya terdapat sebarang usul atau pandangan yang ingin dikemukakan oleh Undang.

Katanya, peraturan yang ditetapkan bukan sahaja terpakai kepada Raja, malah turut terpakai kepada Undang dan mana-mana pihak berkaitan.

“Kalau ada apa-apa usul daripada Undang dan sebagainya, ikut proses, peraturan sepenuhnya. Peraturan ini tidak terpakai hanya kepada Raja tetapi juga kepada Undang. Ikut proses dan kita tidak campur selain daripada itu,” katanya.

Semalam, Sekretariat Majlis Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin dalam kenyataan berkata, semua proses dan tatacara proklamasi pengosongan jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bertarikh 19 April lalu telah dipatuhi seperti yang ditetapkan di bawah undang-undang negeri. – UTUSAN

The post Jangan tunduk tekanan politik appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved