
PETALING JAYA: Kerajaan memberi jaminan bekalan bahan api negara mencukupi sehingga Disember ini meskipun pasaran tenaga global kembali berdepan tekanan susulan perkembangan geopolitik di Asia Barat.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, jaminan itu dilaksanakan menerusi tiga pendekatan iaitu mempelbagaikan sumber import, mengoptimumkan pengeluaran bahan api domestik dan memperkukuh perjanjian bekalan jangka panjang.
Katanya, strategi kepelbagaian sumber bekalan terus diperkukuh dengan mendapatkan minyak mentah dan produk petroleum dari pelbagai rantau termasuk Benua Amerika, selain meneroka sumber alternatif dari Benua Afrika.
“Langkah ini bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada mana-mana satu negara atau laluan bekalan, khususnya ketika aliran perdagangan tenaga dari Asia Barat terus berdepan ketidaktentuan,” katanya dalam Taklimat Krisis Tenaga Global selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 15 Tahun 2026, hari ini.
Akmal Nasrullah berkata, Malaysia dan Thailand turut memperkukuh kerjasama tenaga menerusi pemeteraian Kontrak Perkongsian Pengeluaran dan Perjanjian Jual Beli Gas baharu bagi Blok A-18-01 di Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand.
Katanya, usaha itu membuka ruang kepada pelaburan, mengekalkan pengeluaran dan menjamin nilai jangka panjang kepada kedua-dua negara.
Dalam pada itu, beliau berkata, purata harga minyak mentah Brent meningkat 8.9 peratus kepada AS$90.88 setong pada Ogos berbanding AS$83.42 setong pada Julai.
Katanya, harga harian Brent direkodkan melebihi AS$120 setong pada minggu ini berbanding purata yang lebih rendah pada Ogos.
“Harga gas asli cecair (LNG) turut meningkat daripada purata AS$19.32 bagi setiap MMBtu pada Julai kepada AS$21.87 pada Ogos, sebelum menghampiri AS$30 sehingga pertengahan September.
“Harga arang batu pula meningkat daripada AS$129.63 setan pada Julai kepada AS$130.67 setan pada Ogos sebelum mencecah AS$148 setan pada 10 September lalu,” katanya. – UTUSAN
The post Bekalan bahan api cukup hingga Disember appeared first on Utusan Malaysia.





