Jangan tunggu artis jatuh, baru hendak ditagih – Tauke Jambu

LocalBusiness & Finance
13 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jangan tunggu artis jatuh, baru hendak ditagih – Tauke Jambu

Ada satu perkara yang mungkin tidak pernah difikirkan oleh ramai orang apabila melihat artis menerima bayaran puluhan ribu ringgit untuk satu projek. Tetapi, bagaimana jika sebahagian daripada wang itu sebenarnya perlu disimpan untuk cukai? 

Lebih membimbangkan, bagaimana jika perkara itu hanya diketahui beberapa tahun kemudian, ketika tawaran kerja sudah tidak semeriah dahulu dan pendapatan artis pula semakin menguncup?

Persoalan itu membuka satu isu yang lebih besar dalam industri iaitu tentang keperluan mewujudkan sistem pengurusan kewangan artis yang lebih teratur sejak awal lagi.

Ketika Utusan Malaysia menghubungi Tauke Jambu atau Zamatul Amri Zakaria, 50, dia melihat persatuan industri perlu memainkan peranan lebih besar dalam perkara sedemikian. 

Katanya, persatuan bukan hanya tempat artis mendaftar sebagai ahli, tetapi boleh menjadi penghubung antara artis, produksi dan kerajaan.

“Kadang-kadang, kita tengok tidak semua selebriti ini pakar dalam hal ekonomi, dalam bidang akaun semua. Jadi masalahnya sekarang, cuba persatuan industri ini jadi orang tengah untuk selebriti.

“Kalau kerajaan mahu buat percukaian selebriti, setiap selebriti yang masuk dalam industri hiburan dipastikan ada nombor ahli. Jadi, nombor ahli setiap artis akan dihantar kepada persatuan.

“Di situlah pihak kerajaan boleh pantau. Sedangkan sekarang ini kerajaan boleh pantau media sosial, tak akan tidak boleh pantau benda macam ini,” katanya.

Cadangan itu sebenarnya mudah, setiap individu yang bekerja dalam industri hiburan mempunyai rekod yang jelas. Tidak kira pelakon, penyanyi, pelawak, kru produksi atau pekerja teknikal, semuanya boleh berada dalam satu sistem yang sama.

Dengan sistem itu, kerajaan boleh mendapatkan gambaran lebih awal mengenai individu yang aktif dalam industri. Pada masa sama, persatuan juga boleh mengetahui keadaan ahli dan membantu mereka dalam perkara berkaitan kewangan.

Tauke berkata, masalah mula menjadi rumit apabila urusan cukai hanya diketahui selepas bertahun-tahun. Ketika itu, seseorang artis mungkin sudah tidak mempunyai pendapatan seperti ketika mereka sedang mendapat tawaran yang banyak.

“Kadang-kadang kita tengok artis ini terlepas pandang. Bila beberapa tahun baru sampai notis untuk dikenakan cukai, itu agak menyulitkan. Ketika tengah ‘meletup’, bolehlah senang. Tapi bila sudah tidak ada tawaran, macam mana orang mahu selesaikan?,” katanya.

Menjadi tanda tanya, kenapa perlu tunggu masalah itu berlaku terlebih dahulu? Jika pendapatan boleh direkodkan sejak awal, tanggungjawab cukai juga boleh diurus secara lebih teratur.

Disebabkan itu, Tauke mencadangkan supaya kaedah potongan daripada bayaran projek turut dikaji. Sebagai contoh, jika seseorang artis menerima RM10,000 untuk satu projek, sebahagian daripada jumlah itu boleh diurus terlebih dahulu mengikut mekanisme percukaian yang ditetapkan.

“Katakanlah artis itu dibayar RM10,000 untuk setiap projek, mungkin boleh kenakan dua atau tiga peratus. Mana yang perlu tolak, terus buat siap-siap.

“Produksi tolak terus. Jadi setiap tawaran itu, artis sudah tidak perlu ambil pusing, mahu urus kemudian,” katanya.

Angka dua atau tiga peratus yang disebut itu hanyalah contoh dalam cadangannya dan bukan kadar cukai rasmi. Yang lebih penting ialah konsep potongan dibuat lebih awal supaya artis tidak berdepan jumlah besar apabila tiba masa untuk menyelesaikan tanggungjawab mereka.

“Artis pun tidak perlu pening. Daripada gaji yang dia dapat daripada projek itu, cukai sudah ditolak siap-siap.

“Banyak cara sekarang ini mahu naikkan ekonomi artis. Ahli-ahli boleh diterapkan dengan pelaburan ataupun cara berniaga. Kursus-kursus perniagaan sebenarnya banyak. Persatuan perlu memainkan peranan juga,” katanya.

The post Jangan tunggu artis jatuh, baru hendak ditagih – Tauke Jambu appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved