Ibu diserang strok ubah segalanya, Madnor pilih keluarga berbanding kerjaya – 'Saya mahu ada ketika mak perlukan saya'

Family & ParentingLifestyle
21 Jul 2026 • 12:07 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Ibu diserang strok ubah segalanya, Madnor pilih keluarga berbanding kerjaya – 'Saya mahu ada ketika mak perlukan saya'

KETIKA ramai anak muda berlumba-lumba mengejar kestabilan kerjaya, gaji tetap dan masa depan yang lebih terjamin, pempengaruh media sosial, Muhammad Noor Zakaria atau lebih dikenali sebagai Madnor, memilih jalan yang penuh dengan tanda tanya.

Tiada jaminan pendapatan bulanan, tiada kepastian bagaimana perjalanan seterusnya, namun satu perkara yang menjadi keutamaan dalam hatinya ketika itu adalah keluarga.

Buat Madnor, keputusan meninggalkan pekerjaan tetap bukan kerana mahu mengejar populariti atau sekadar mencuba nasib dalam dunia perniagaan, tetapi kerana satu tanggungjawab besar sebagai seorang anak.

Segalanya berubah apabila ibunya diserang strok pada awal 2025. Dalam sekelip mata, Madnor berdepan persimpangan antara tuntutan kerjaya dan keperluan untuk berada di sisi insan yang paling berjasa dalam hidupnya.

Image from: Ibu diserang strok ubah segalanya, Madnor pilih keluarga berbanding kerjaya – 'Saya mahu ada ketika mak perlukan saya'

“Saya berhenti kerja sebab saya perlukan fleksibiliti. Mak saya kena strok dan enam bulan pertama memang perlukan penjagaan sepenuhnya.

“Pada mulanya majikan beri peluang untuk saya bekerja secara fleksibel. Saya cuba uruskan kerja, kemudian balik untuk mandikan mak dan menjaganya.

“Tapi lama-kelamaan saya penat. Akhirnya saya buat keputusan berhenti supaya saya benar-benar ada masa untuk keluarga,” katanya ketika ditemui secara eksklusif oleh SinarPlus.

Menurut Madnor, keputusan itu bukan mudah kerana ia bermakna dia perlu melepaskan satu perkara yang memberikan kestabilan demi sesuatu yang tidak pasti.

Namun, dia percaya ada masa dalam kehidupan seseorang perlu memilih perkara yang lebih utama.

“Saya sedar ada sesuatu yang perlu dikorbankan. Kadang-kadang dalam hidup kita kena tanya, apa yang paling penting pada waktu itu.

“Kerjaya boleh dibina semula, tetapi masa bersama ibu ketika dia perlukan kita mungkin tidak akan berulang,” ujarnya.

Berani bermula semula

Selepas meninggalkan pekerjaan tetap, Madnor mula membina kehidupan sebagai individu yang bekerja sendiri. Kini selepas setahun dua bulan menguruskan perniagaan sendiri, dia mengusahakan rental studio yang menyediakan ruang untuk penghasilan kandungan seperti podcast dan rancangan memasak.

Selain itu, dia turut mengendalikan podcast miliknya sendiri dengan sumber pendapatan melalui kerjasama penajaan.

Bagaimanapun, Madnor mengakui kehidupan sebagai usahawan jauh berbeza berbanding ketika makan gaji.

Image from: Ibu diserang strok ubah segalanya, Madnor pilih keluarga berbanding kerjaya – 'Saya mahu ada ketika mak perlukan saya'

“Dulu kita fikir kerja makan gaji pun sudah penat sebab kita bekerja bersungguh-sungguh. Tapi bila ada bisnes sendiri, sebenarnya cabarannya lebih besar.

“Dulu kita boleh balik awal, sekarang tidak semestinya. Bila kita ada staf, tanggungjawab kita bertambah sebab ada orang lain yang bergantung kepada kita,” katanya.

Malah, Madnor tidak menafikan ada rasa takut dan tidak yakin sepanjang melalui fasa perubahan itu.

“Saya rasa insecure juga sebab walaupun bisnes kita belum besar, ada staf yang perlu kita fikirkan. Dulu tanggungjawab saya kepada keluarga, sekarang bertambah lagi dengan mereka yang bekerja bersama saya.

“Struggle itu lebih besar, tetapi saya percaya sesuatu yang bermula dari bawah memang memerlukan perjuangan,” katanya.

Ubah persepsi tentang perkahwinan

Selain berkongsi perjalanan membina kerjaya sendiri, Madnor turut dikenali kerana sering menyuarakan pandangan mengenai gaya hidup dan budaya berbelanja berlebihan dalam kalangan anak muda.

Baginya, antara perkara yang perlu diperbetulkan ialah persepsi bahawa seseorang perlu memiliki segala-galanya sebelum mendirikan rumah tangga.

Menurut Madnor, kehidupan berumah tangga tidak semestinya perlu bermula dengan kemewahan kerana yang lebih penting ialah kesediaan pasangan untuk membina kehidupan bersama.

“Ramai rasa kalau nak kahwin, semuanya kena lengkap dulu. Kena ada rumah, kereta, duit banyak dan kehidupan yang sempurna.

“Tapi bagi saya, bermula dari bawah pun tidak salah. Umur 25, 26 tahun, apa yang kita harapkan? Kita masih muda, memang ada fasa kita jatuh dan bangun,” katanya.

Tambahnya, pasangan muda tidak perlu terlalu terikat dengan pandangan orang sekeliling sehingga sanggup memaksa diri di luar kemampuan.

“Daripada kita berpura-pura mampu tetapi akhirnya kehidupan selepas kahwin menjadi susah, lebih baik kita buat secara sederhana.

“Kahwin biasa-biasa pun tidak mengapa. Buat yang asas sahaja, yang penting kita bersedia menghadapi perjalanan selepas itu,” ujarnya.

Image from: Ibu diserang strok ubah segalanya, Madnor pilih keluarga berbanding kerjaya – 'Saya mahu ada ketika mak perlukan saya'

Bagi Madnor, cabaran ketika bermula dari bawah sebenarnya akan menjadi kenangan yang lebih bermakna pada masa hadapan.

“Kadang-kadang bila kita bermula daripada bawah, itulah cerita yang kita boleh kongsi dengan anak-anak nanti.

“Bagaimana ibu dan ayah bina kehidupan bersama, bagaimana susah senang itu dilalui bersama. Itu yang menjadikan perjalanan hidup lebih manis,” katanya.

Gunakan usia muda untuk bersedia

Dalam masa sama, Madnor mengingatkan golongan muda supaya tidak hanya melihat kehidupan dari sudut yang indah sahaja.

Menurutnya, kehidupan ibarat cuaca yang berubah-ubah dan seseorang perlu bersedia menghadapi fasa sukar.

“Langit kita tidak selamanya cerah, akan ada hari mendung. Sebab itu waktu kita masih muda, sihat dan banyak tenaga, gunakan masa itu untuk berusaha dan bina simpanan.

“Tabung kecemasan sangat penting. Sekarang mungkin kita rasa semuanya baik, ibu bapa masih sihat, komitmen belum banyak, tetapi kita tidak tahu apa yang akan berlaku,” katanya.

Madnor berkongsi, pengalaman berdepan ujian ibunya menjadi pengajaran besar bahawa persediaan awal amat penting dalam kehidupan.

“Usia 20-an menentukan bagaimana kita menghadapi usia 30-an nanti. Masa muda bukan sekadar untuk menikmati hidup, tetapi juga masa untuk bina asas.

“Bukan nak menakutkan sesiapa, cuma kita perlu sedar bahawa hidup ini ada hari cerah dan ada hari mendung. Kita kena bersedia,” katanya.

Bagi Madnor, kejayaan bukan semata-mata tentang memiliki segala-galanya pada usia muda, tetapi keberanian untuk membuat pilihan, bertanggungjawab terhadap keputusan sendiri dan terus melangkah walaupun perjalanan itu tidak mudah.

Kerana kadangkala, jalan yang penuh cabaran itulah yang membawa seseorang kepada makna sebenar sebuah kehidupan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved