
KESATUAN Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) mengambil pendirian tegas bahawa setiap keluhan dan aduan guru perlu didengar sebelum perkara itu menjadi isu yang lebih besar atau tular di media sosial.
KGMMB Pusat melihat perkembangan isu aduan guru yang hangat diperkatakan ketika ini sebagai satu peringatan penting bahawa mekanisme mendengar suara guru di peringkat akar umbi perlu terus diperkasakan.
Justeru, KGMMB Pusat mengambil langkah proaktif dengan menggerakkan kesemua 18 cawangan KGMMB di seluruh Semenanjung Malaysia untuk memperkukuh sistem penerimaan dan pengurusan aduan dalam kalangan ahli.
Prinsip KGMMB jelas bahawa guru yang mempunyai masalah perlu tahu ke mana hendak mengadu, siapa yang akan mendengar dan apakah tindakan susulan yang boleh diambil.
KGMMB menegaskan sistem aduan yang baik bukan bermaksud menggalakkan guru membuat aduan tanpa kawalan.
Sebaliknya, setiap aduan perlu diterima dengan terbuka, ditapis secara profesional, disemak faktanya dan disalurkan melalui saluran yang betul.
Jawatankuasa KGMMB cawangan akan menjadi barisan hadapan untuk menerima dan menyantuni aduan ahli.
Aduan yang boleh diselesaikan di peringkat cawangan akan diusahakan penyelesaiannya melalui rundingan dan libat urus dengan pihak berkaitan.
Bagi isu yang melibatkan kepentingan atau bidang kuasa peringkat negeri, perkara tersebut akan diangkat melalui perbincangan dan mesyuarat bersama pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
Manakala isu yang melibatkan dasar, peraturan, kepentingan guru secara meluas atau mempunyai implikasi nasional akan dibawa oleh KGMMB Pusat kepada pihak pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Dengan pendekatan ini, KGMMB mahu memastikan aduan tidak sekadar dicatat, tetapi mempunyai laluan tindakan yang jelas.
KGMMB berpandangan media sosial tidak seharusnya menjadi satu-satunya ruang untuk guru mendapatkan perhatian terhadap masalah yang dihadapi.
Sekiranya sistem aduan yang mudah dicapai dan diyakini tersedia di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan, guru seharusnya mempunyai ruang yang lebih selamat dan tersusun untuk menyampaikan permasalahan mereka.
Kita tidak mahu guru terpaksa menunggu sesuatu isu menjadi tular barulah semua pihak memberi perhatian.
Sebaliknya, suara guru perlu didengar sebelum sesuatu isu menjadi krisis.
Dalam masa yang sama, KGMMB menyeru guru agar menggunakan saluran aduan secara bertanggungjawab, berasaskan fakta dan tidak membuat tuduhan yang tidak dapat disahkan.
KGMMB Pusat memaklumkan kepada semua jawatankuasa cawangan supaya lebih cakna terhadap isu, permasalahan dan keluhan ahli di sekolah serta institusi pendidikan.
Jawatankuasa cawangan ialah pihak yang paling hampir dengan guru.
Mereka berada di lapangan, mengenali ahli dan memahami realiti yang berlaku di sekolah masing-masing.
Oleh itu, setiap jawatankuasa cawangan perlu menjadi ‘telinga’ yang mendengar, ‘bahu’ yang menyantuni dan ‘jambatan’ yang menghubungkan guru dengan pihak pengurusan.
KGMMB tidak mahu wujud keadaan di mana seorang guru berhadapan masalah tetapi tidak mengetahui kepada siapa beliau boleh mendapatkan bantuan.
KGMMB turut merakamkan jutaan terima kasih kepada pengurusan tertinggi KPM yang menunjukkan keprihatinan dan cakna terhadap isu serta keluhan warga guru yang dibangkitkan.
KGMMB percaya penyelesaian terbaik tidak lahir daripada pertentangan semata-mata, tetapi melalui dialog, keterbukaan, keberanian menerima teguran dan kesediaan mencari penyelesaian bersama.
KGMMB bersedia menjadi rakan strategik KPM dalam usaha memperkukuh sistem pendidikan negara, khususnya dalam memastikan suara dan kebajikan guru terus diberikan perhatian.
KGMMB dengan ini menyeru semua kesatuan dan persatuan guru di Malaysia supaya bersama-sama memperkukuh mekanisme aduan masing-masing.
Ini bukan soal kesatuan mana lebih hebat. Ini soal kebajikan guru.
Apabila seorang guru berdepan masalah, semua organisasi yang mewakili guru perlu mempunyai keupayaan untuk mendengar, menyantuni dan membantu mencari penyelesaian.
Kita mungkin berbeza organisasi tetapi suara dan kebajikan guru ialah perjuangan bersama.
KGMMB percaya kesatuan guru yang kuat bukan sekadar lantang apabila isu sudah menjadi perhatian umum, tetapi sentiasa berada bersama guru ketika mereka berdepan masalah – ketika isu itu masih kecil, ketika belum menjadi tajuk berita dan ketika belum menjadi tular.
KGMMB akan terus memperkukuh Sistem Aduan KGMMB melalui 18 cawangan di seluruh Semenanjung Malaysia sebagai satu mekanisme yang lebih dekat, tersusun, bertanggungjawab dan berorientasikan penyelesaian.
Jangan tunggu guru menjerit di media sosial. Dengarlah sebelum mereka terpaksa bersuara lebih kuat.
KGMMB akan terus mendengar. KGMMB akan terus menyantuni. KGMMB akan terus membawa suara guru ke meja rundingan. –utusan
DR. MOHD SOBRI YUSUF
Presiden Kesatuan Guru-Guru Malaysia Barat (KGMMB)
The post Jangan tunggu guru bersuara di media sosial appeared first on Utusan Malaysia.






