
Kota Kinabalu: Dewan Perniagaan Muslim Sabah (DPMS) menggesa tindakan segera diambil bagi mengurangkan tekanan yang semakin meningkat ke atas sektor perniagaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), ketika kos operasi terus meningkat, manakala kuasa beli pengguna dan margin keuntungan semakin mengecil.
Setiausaha Agung DPMS, Shihan Mohd Salim (gambar) berkata, pengusaha kini berdepan peningkatan kos upah, caruman berkanun, sewa, elektrik dan utiliti, bahan mentah, pengangkutan, logistik, cukai, lesen, sistem digital serta kos pematuhan.
Katanya, tekanan itu lebih ketara di Sabah disebabkan faktor geografi, jarak perjalanan yang jauh dan kos logistik yang tinggi.
“Apabila orang ramai mengehadkan perjalanan dan perbelanjaan, kesannya turut dirasai restoran, kedai, pasar dan perniagaan tempatan.
“Jika keadaan ini berterusan, lebih banyak PKS berisiko mengecilkan operasi, mengurangkan tenaga kerja atau ditutup sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan, Khamis.
DPMS mencadangkan sembilan langkah untuk dipertimbangkan Kerajaan Persekutuan dan Sabah bagi meringankan beban komuniti perniagaan.
“Pertama, menaikkan had kelayakan subsidi bahan api Budi di Sabah kepada 500 liter sebulan, dengan mengambil kira realiti geografi negeri, jarak perjalanan yang jauh dan pengangkutan awam yang terhad. Pengurangan kos perjalanan juga dapat membantu memulihkan aktiviti ekonomi di bandar dan kawasan perbandaran.
“Kedua, DPMS mencadangkan had mandatori e-Invois dinaikkan kepada RM5 juta, dengan perniagaan yang mencatat jualan tahunan di bawah had itu sama ada dikecualikan atau diberikan mekanisme pematuhan lebih mudah bagi mengurangkan kos sistem, perakaunan dan pentadbiran.
“Ketiga, berhubung caruman mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing, DPMS menggesa Kerajaan mengkaji semula keperluan itu, dengan mengambil kira majikan sudah menanggung kos levi, visa, permit, pemeriksaan kesihatan, insurans dan penginapan.
“Jika caruman diteruskan, Kerajaan perlu mempertimbangkan kadar khas atau mekanisme yang lebih sesuai,” katanya.
Keempat, Shihan berkata DPMS turut menggesa kenaikan gaji minimum pada masa hadapan mengambil kira produktiviti, kemahiran, jenis pekerjaan, kemampuan sektor serta keadaan ekonomi negeri, bukannya mengenakan kenaikan seragam kepada semua sektor.
“Kelima, DPMS turut mencadangkan Kerajaan mengkaji perbezaan gaji yang munasabah antara pekerja tempatan dan asing, termasuk kemungkinan gaji minimum lebih rendah bagi pekerja asing, tertakluk kepada undang-undang sedia ada dan perlindungan asas pekerja.
“Perbezaan sedemikian penting bagi memberikan rakyat Malaysia kelebihan pendapatan dan insentif lebih besar untuk bekerja, selain memberikan majikan alasan lebih kukuh untuk mengutamakan pengambilan pekerja tempatan.
“Bagaimanapun, keperluan pekerja asing dalam sektor yang benar-benar menghadapi kekurangan tenaga kerja juga perlu diambil kira,” katanya.
Keenam, DPMS turut mencadangkan penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) diperluas bagi meliputi makanan siap dimakan di restoran dan premis makanan berdaftar, tertakluk kepada had serta kawalan yang ditetapkan Kerajaan.
“Ini akan membantu penerima Sara selain merangsang ekonomi tempatan,” katanya.
Ketujuh, DPMS menggesa tarif atau rebat elektrik khas diberikan kepada PKS yang menggunakan tenaga tinggi tetapi mempunyai margin keuntungan rendah, termasuk restoran, hotel, dobi dan perniagaan runcit.
Kelapan, Kerajaan diminta mengenakan moratorium terhadap kos pematuhan baharu bagi PKS selagi keadaan ekonomi mencabar serta memastikan setiap dasar baharu menjalani penilaian impak terhadap PKS.
Akhir sekali, Shihan berkata DPMS mencadangkan moratorium bersasar oleh bank, pihak berkuasa tempatan dan agensi Kerajaan bagi PKS yang berdaya maju tetapi menghadapi masalah aliran tunai sementara.
“Perniagaan sedemikian perlu dibenarkan memohon moratorium pinjaman, penjadualan semula bayaran balik, pengaturan ansuran atau penangguhan bayaran tertentu.
“Moratorium bukan bermaksud hutang dilupuskan, tetapi memberikan ruang kepada perniagaan memulihkan aliran tunai dan kembali memenuhi obligasi mereka,” katanya.
Shihan berkata komuniti perniagaan tidak meminta semua tanggungjawab mereka dihapuskan, sebaliknya pengusaha memerlukan ruang yang munasabah untuk terus beroperasi, mengekalkan pekerja dan menyumbang kepada ekonomi.
“Apabila perniagaan ditutup, bukan pemilik sahaja yang terjejas. Pekerja kehilangan pekerjaan, pembekal kehilangan pelanggan, pemilik premis kehilangan penyewa, bank berdepan pinjaman tidak berbayar dan Kerajaan kehilangan hasil,” katanya.
Sehubungan itu, DPMS menggesa Kerajaan Persekutuan dan Sabah bertindak sebelum keadaan menjadi lebih serius serta mempergiatkan libat urus dengan komuniti perniagaan dan PKS.
“Jangan tunggu sehingga kedai dan perniagaan ditutup sebelum bertindak. Kuasa beli rakyat mesti dipulihkan dan kos menjalankan perniagaan perlu dikawal. PKS mesti diberikan ruang untuk bernafas.
“Apabila orang ramai mempunyai wang untuk berbelanja, perniagaan berkembang. Apabila perniagaan berkembang, pekerjaan terjamin dan ekonomi Sabah terus berkembang,” kata Shihan.





