CIMB catat untung bersih RM1.94 bilion pada suku kedua 2026

LocalBusiness & Finance
28 Aug 2026 • 5:43 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: CIMB catat untung bersih RM1.94 bilion pada suku kedua 2026

KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) mencatatkan prestasi kewangan berdaya tahan bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (2Q26), dengan keuntungan bersih meningkat 1.2 peratus suku ke suku kepada RM1.94 bilion berbanding RM1.92 bilion pada suku pertama.

Prestasi itu disokong pertumbuhan menyeluruh merentasi semua segmen perniagaan kumpulan, sekali gus meningkatkan pulangan tahunan atas purata ekuiti (ROE) sebanyak 20 mata asas suku ke suku kepada 11.2 peratus.

Pendapatan sesaham (EPS) CIMB bagi suku berkenaan pula berada pada 17.9 sen.

Kumpulan turut mengisytiharkan dividen interim pertama secara tunai sebanyak 19.65 sen sesaham bagi separuh pertama 2026, berdasarkan nisbah pembayaran konsisten sebanyak 55 peratus, membabitkan jumlah pembayaran dividen RM2.1 bilion.

Dalam pada itu, jumlah pendapatan meningkat 2.8 peratus suku ke suku kepada RM5.56 bilion, didorong peningkatan pendapatan faedah bersih (NII) dan pendapatan bukan faedah (NOII).

NOII meningkat enam peratus suku ke suku kepada RM1.83 bilion, disokong peningkatan yuran francais serta momentum jualan pelanggan yang berterusan.

NII pula meningkat 1.3 peratus kepada RM3.73 bilion, disokong pertumbuhan aset sebanyak 2.2 peratus dan pinjaman 1.1 peratus berdasarkan mata wang malar, sekali gus mengimbangi penyusutan sederhana margin faedah bersih (NIM).

CIMB menjangkakan tekanan terhadap NIM akan beransur reda, disokong penetapan semula harga pinjaman di Indonesia serta pertumbuhan berterusan deposit berkos rendah di pasaran utama kumpulan.

Berdasarkan mata wang malar, jumlah deposit turut meningkat 2.5 peratus suku ke suku, bagi membiayai pertumbuhan aset kumpulan.

Dari aspek kecekapan operasi, perbelanjaan operasi CIMB susut 1.6 peratus suku ke suku, menyumbang kepada peningkatan nisbah kos kepada pendapatan (CIR) sebanyak 200 mata asas kepada 45.2 peratus pada suku berkenaan.

Kumpulan bagaimanapun meneruskan pelaburan dalam teknologi, data dan keupayaan kecerdasan buatan (AI) sebagai pemacu pertumbuhan jangka panjang, kecekapan operasi serta penambahbaikan pengalaman pelanggan.

Kualiti aset kekal stabil dengan nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) mencapai paras terendah sepanjang masa iaitu 1.6 peratus setakat Jun 2026.

Kedudukan modal dan kecairan kumpulan juga kekal kukuh, dengan nisbah Ekuiti Biasa Tier 1 (CET1) pada 14 peratus, memberikan kapasiti mencukupi untuk menyerap potensi cabaran serta menyokong pertumbuhan masa depan.

Mengulas prospek kumpulan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin berkata, prestasi 2Q26 mencerminkan pelaksanaan berterusan strategi Forward30 serta kekuatan francais perbankan kumpulan.

Katanya, perubahan struktur di seluruh ASEAN yang dipengaruhi perkembangan geopolitik serta transformasi industri menerusi AI membuka peluang baharu untuk pertumbuhan.

“Kami telah meningkatkan bahagian dompet pelanggan dalam segmen utama, mendapatkan nilai daripada inisiatif “Lebih Mudah, Lebih Baik, Lebih Pantas” selain mengekalkan kualiti aset yang kukuh.

“Pencapaian ini mengukuhkan keyakinan kami terhadap hala tuju strategik dan keupayaan untuk memberikan prestasi konsisten merentasi kitaran pasaran,” katanya dalam pengumuman prestasi CIMB di sini hari ini.

Menurut beliau, pelaksanaan Forward30 kekal mengikut landasan, dengan tumpuan pada separuh kedua tahun ini untuk mengekalkan pertumbuhan aset dan pinjaman yang kukuh, disokong saluran pinjaman yang sihat.

CIMB turut memberi tumpuan kepada peluang yang terhasil daripada perubahan struktur di ASEAN, khususnya dalam bidang AI dan pusat data, pengurusan kekayaan serta perdagangan rentas sempadan.

Antara inisiatif yang menjadi tumpuan ialah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), ASEAN Financial Passport, kerjasama China-ASEAN dan penubuhan ASEAN Corporate Hub di Singapura.

“Perniagaan Transaction Banking (transaksi perbankan) turut kekal sebagai fokus utama kumpulan, disokong peluasan aplikasi CIMB OCTO Biz di rantau ini,” katanya.

Pada masa sama, CIMB meneruskan usaha mengagihkan semula modal daripada perniagaan yang kurang berprestasi serta memperkukuh penawaran digital menerusi gabungan kekuatan bank universal kumpulan dan TNG Group.

TNG Group mencatat prestasi kukuh pada separuh pertama 2026 apabila jumlah keuntungan meningkat lebih 100 peratus tahun ke tahun.

Dalam perkembangan berkaitan inovasi kewangan digital, CIMB turut berjaya melengkapkan projek perintis pertama Malaysia bagi deposit bertoken untuk melanggan sukuk bertoken.

“Inisiatif itu berjaya mengumpul RM1.38 bilion daripada 12 pelabur institusi sebagai sebahagian daripada penerbitan sukuk bernilai RM1.68 bilion,” katanya.

CIMB berkata, pencapaian berkenaan menunjukkan potensi inovasi aset digital dalam memperkemas proses sedia ada, memberikan hasil lebih baik kepada pelanggan serta menyokong pembangunan infrastruktur kewangan Malaysia ke arah era kewangan baharu.-UTUSAN

The post CIMB catat untung bersih RM1.94 bilion pada suku kedua 2026 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved