![Image from: Jangan Upload Di Media Sosial! Ini Yang Patut Anda Lakukan Jika Terjumpa MyKad Tercicir [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/05/apa-perlu-buat-kalau-terjumpa-ic-yang-tercicir.jpg)
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Media sosial sememangnya memberi pengaruh besar dalam kehidupan manusia.Selain dijadikan sebagai medium perhubungan, ia juga berfungsi sebagai platform penyampaian maklumat.
Lihat sahajalah, sebarang informasi tentang sesuatu isu atau siapa sahaja yang mahu mencari sesuatu cepat sahaja disampai atau diselesaikan. Maka, tidak hairanlah jika ada segelintir individu yang menjadikan media sosial sebagai platform untuk mencari pemilik barang atau dokumen penting yang hilang.
Bila sebut tentang ini, pernahkah anda terfikir sama ada perbuatan memuat naik dokumen penting seperti kad pengenalan atau MyKad di media sosial untuk mencari pemilik dibenarkan di media sosial?
Jika tidak, apa pula langkah sepatutnya dilakukan jika terjumpa MyKad yang tercicir?
Perbuatan Upload MyKad Orang Lain Di Media Sosial Adalah Perbuatan Salah – JPN
Menurut Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam satu video di Threads, perbuatan memuat naik kad pengenalan yang tercicir untuk mencari pemilik di media sosial adalah satu perbuatan yang salah dan berisiko besar.
Ini kerana jelas mereka, MyKad merupakan dokumen pengenalan diri utama warganegara Malaysia yang mengandungi pelbagai maklumat penting.
Antara maklumat yang terkandung pada MyKad adalah:
- Nombor kad pengenalan
- Nama penuh
- Jantina
- Agama
- Data biometrik
Tindakan Upload Mykad Di Media Sosial Buka Ruang Kepada Penyalahgunaan
Terang mereka, tindakan memuat naik MyKad di media sosial walaupun berniat baik untuk menolong membuka ruang kepada penyalahgunaan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Antara risikonya termasuk penipuan identiti, pemalsuan dokumen dan pelbagai jenayah yang boleh menjejaskan keselamatan individu tersebut,” katanya.
Apa Patut Buat Kalau Jumpa MyKad Tercicir?
Menerusi hantaran itu juga, JPN ada berkongsi cara dan langkah sepatutnya jika anda terjumpa MyKad tanpa pemilik.
“Bukannya dengan memviralkan di media sosial. Sebaliknya, serahkan kepada pihak berkuasa atau di saluran yang betul.
“Menyiar atau menyebarkan maklumat peribadi orang lain tanpa kebenaran juga adalah satu kesalahan dan boleh diambil tindakan oleh pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” jelasnya.
View on Threads
Jom kami senaraikan semula apa yang patut anda lakukan jika terjumpa IC tercicir seperti yang dikongsi oleh JPN.
#1 Serahkan Terus Ke Pejabat JPN Terdekat
Perbuatan ini amat membantu pihak JPN untuk menyemak, menghubungi dan merekodkan penyerahan kepada pemilik asal
#2 Serahkan Kepada Pihak Berkuasa (Balai Polis)
Jika tiada pejabat JPN berhampiran, orang awam boleh serahkan dokumen pengenalan diri itu di balai polis terdekat untuk proses seterusnya.
#3 Jangan Simpan Terlalu Lama
Umum mengetahui MyKad merupakan dokumen pengenalan rasmi negara. Jangan simpan terlalu lama untuk mengelakkan salah faham atau risiko keselamatan.
#4 Jangan Ambil Gambar, Kongsi Atau Muat Naik Di Media Sosial
Elakkan dari mengambil gambar dan memuat naik gambar IC di media sosial. Ia bagi mengelakkan risiko penyalahgunaan peribadi, melanggar privasi pemilik dan boleh sebabkan maklumat disalah guna.
#5 Serahkan Tanpa Buka, Tanggal Atau Rosakkan IC
Jika terjumpa kad pengenalan milik seseorang, serahkan ia dalam keadaan asal kad pengenalan agar pihak JPN dapat menguruskannya mengikut prosedur.
“Menjaga MyKad bukan sekadar tanggungjawab peribadi tetapi demi keselamatan semua.
“Jangan kerana nak tolong, kita membuka ruang kepada jenayah,” jelas mereka.
JPN dalam satu hantaran berasingan turut menjelaskan bahawa memegang kad pengenalan milik orang lain tanpa kuasa yang sah adalah menjadi satu kesalahan.
“Menjadi kesalahan jika seseorang individu menggunakan, memegang atau menyimpan Kad pengenalan milik orang lain tanpa kuasa yang sah,” terang mereka lagi.
View on Threads
Baca Artikel Berkaitan: MyKad Generasi Baharu: Kapsyen “Korang Boleh Buang IC Lama” Buat Ramai Keliru, Ini Respon JPN
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Gara-gara Keluar Tak Bawa IC, Lelaki Dedah Pernah Tidur Lokap 4 Hari Dan Dipenjara Sehari
Baca Artikel Berkaitan: Simpan Dengan Selamat, JPN Kongsi Tips Jaga MyKad Daripada Rosak




