Janin cukup sifat ditemui dalam tandas stesen minyak

14 Jun 2025 • 12:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Janin bayi cukup sifat ditemui di dalam mangkuk tandas sebuah stesen minyak di Jalan Pontian-Benut. Foto tular

PONTIAN – Penemuan janin bayi cukup sifat di dalam mangkuk tandas sebuah stesen minyak di Jalan Pontian–Benut dekat Api-Api, di sini, menggemparkan pekerja premis pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi, seorang pekerja stesen minyak terbabit telah menghubungi polis selepas menemui janin berkenaan di tandas pam minyak.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, janin tersebut kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru untuk bedah siasat.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat untuk menyembunyikan kelahiran anak,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Menurut beliau, hasil siasatan awal membawa kepada pengecaman seorang wanita yang disyaki terlibat dalam kejadian berkenaan dan kini sedang menerima rawatan di hospital.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Wan Nor Ismaliza Wan Ismail di talian 016-208 9835.

“Polis menghargai kerjasama orang awam yang tampil menyalurkan maklumat,” katanya.