Jasa takkan dilupakan, Tun Dr Hasmah ‘ibu’ skuad Piala Thomas 1992 – Razif Sidek

28 Sep 2026 • 3:33 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek menyifatkan pemergian Tun Dr Hasmah Mohd Ali sebagai satu kehilangan besar buat keluarga badminton negara, khususnya barisan pemain skuad Piala Thomas 1992 yang mencipta sejarah menjulang trofi berprestij itu 34 tahun lalu.

Razif yang juga kapten skuad Piala Thomas 1992 berkata, Dr Hasmah selaku penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bukan sekadar memberikan sokongan kepada pasukan, malah dianggap seperti seorang ibu kerana sentiasa dekat dan mengambil berat mengenai persiapan pemain.

“Kita anggap beliau sebagai ibu kepada skuad Piala Thomas ketika itu. Kadang-kadang beliau datang ketika latihan, berjumpa dan berbual dengan kami serta memberikan sepatah dua kata untuk menaikkan semangat.
“Kita tidak akan lupa jasa beliau ketika Malaysia menjuarai Piala Thomas 1992 di Stadium Negara,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Image from: Jasa takkan dilupakan, Tun Dr Hasmah ‘ibu’ skuad Piala Thomas 1992 – Razif Sidek

Kredit Foto: Datuk Razif Sidek

Selain kenangan manis menjulang Piala Thomas 1992, Razif turut tidak dapat melupakan sokongan Allahyarham ketika Sukan Olimpik Barcelona pada tahun sama, yang menyaksikan beliau bersama adiknya, Datuk Jalani Sidek, mencipta sejarah menghadiahkan pingat Olimpik pertama negara.

Beliau berkata, kehadiran Dr Hasmah di Barcelona ketika itu cukup bermakna buat barisan pemain badminton negara, khususnya dalam memberikan sokongan dan kata-kata semangat sepanjang temasya berkenaan.

Image from: Jasa takkan dilupakan, Tun Dr Hasmah ‘ibu’ skuad Piala Thomas 1992 – Razif Sidek

Kredit Foto: Datuk Razif Sidek

“Kehadiran beliau memang memberi makna buat saya dan Jalani, malah menambahkan semangat kami untuk beraksi di Sukan Olimpik.
“Alhamdulillah kami ketika itu berjaya membawa pulang pingat pertama negara di Sukan Olimpik,” katanya yang kali terakhir bertemu Dr Hasmah pada tahun lepas.

Image from: Jasa takkan dilupakan, Tun Dr Hasmah ‘ibu’ skuad Piala Thomas 1992 – Razif Sidek

Dr Hasmah, isteri kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini pada usia 100 tahun.

Berita pemergian Allahyarham disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.

Sumber: BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved