
KUALA LUMPUR – Jasad mendiang Yap Shing Xuen, 16 tahun, yang maut ditikam di sebuah sekolah di Petaling Jaya selamat disemadikan selepas menjalani upacara pembakaran di Krematorium Nirvana Memorial Park di sini petang tadi.
Terdahulu, kenderaan khas yang membawa jasad mendiang tiba di perkarangan krematorium sekitar 12.20 tengah hari, disambut dengan tangisan ahli keluarga dan rakan-rakan rapat mendiang.
Lebih 100 individu, termasuk ahli keluarga, rakan sekolah serta kakitangan sekolah mendiang, hadir untuk memberi penghormatan terakhir sebelum proses pembakaran dijalankan.
Sebelum itu, satu upacara penghormatan terakhir telah diadakan di Nirvana Centre di sini bermula kira-kira 9.30 pagi, sebelum jasad dibawa ke Shah Alam bagi menjalani upacara adat seterusnya.
Getaran difahamkan, proses pembakaran dijalankan secara tertutup dan hanya dihadiri ahli keluarga terdekat.
Sebagai tanda kasih dan kenangan, 100 belon berwarna biru dan putih iaiti warna kegemaran mendiang Shing Xuen telah dilepaskan ke langit sebagai simbol restu dan ingatan terhadap remaja terbabit.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya akan membuat permohonan agar tempoh tahanan reman suspek dilanjutkan.
Menurut beliau, suspek berusia berusia 14 tahun itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya esok, selepas tempoh reman dikenakan ke atasnya sebelum ini berakhir.
“Polis telah merakam keterangan 148 bagi membantu siasatan setakat ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Shamsudin berkata, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya pada Rabu ini untuk arahan lanjut.
Rabu lepas, Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha memerintahkan supaya suspek yang juga pelajar di sekolah sama dengan mangsa direman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mendiang Shing Xuen maut selepas ditikam bertubi-tubi dengan dua jenis senjata, Selasa lalu. - Getaran, 20 Oktober 2025



