JasaNusa tuntut kerajaan tangguh penjualan Boustead Plantations kepada syarikat swasta

LocalPolitics
18 Nov 2026 • 10:15 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

JasaNusa tuntut kerajaan tangguh penjualan Boustead Plantations kepada syarikat swasta Image from: JasaNusa tuntut kerajaan tangguh penjualan Boustead Plantations kepada syarikat swasta amree18/11/2026 - 10:15 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Nov — Jalinan Sahabat Nusantara (JasaNusa) menuntut kerajaan menangguhkan usaha melupuskan Boustead Plantation Berhad (BPlant) kepada syarikat swasta bagi membolehkan kajian menyeluruh khususnya kepentingan jangka panjang pencarum Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

 

Presidennya, Samsudin Awang berkata, keputusan penjualan aset strategik itu perlu diteliti semula memandangkan kumpulan perladangan tersebut menunjukkan prestasi semasa yang baik dan mencatatkan keuntungan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keperluan pelupusannya.

 

Menurutnya, BPlant mempunyai nilai strategik dan berpotensi memberikan pulangan secara berterusan kepada pencarum LTAT sekiranya masih lagi dikekalkan sebagai aset pelaburan jangka panjang.

 

"Sekiranya penjualan tetap perlu dilaksanakan, kerajaan sewajarnya mengutamakan pembeli daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), termasuk Sime Darby Plantation (SDP), bagi memastikan kepentingan strategik negara terus terpelihara," jelas beliau dalam kenyataan media.

 

Di samping itu, Samsudin turut membangkitkan isu pelupusan hak pajakan tanah milik LTAT di Ampang Hilir, Kuala Lumpur kepada Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS) pada harga RM420 juta yang masih lagi menjadi perhatian banyak pihak ketika ini.

 

Sehubungan itu, beliau meminta penjelasan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai ketelusan pakej penjualan BPlant serta manfaat sebenar transaksi tersebut kepada LTAT sendiri.

 

Artikel berkaitan: 

Ahli Parlimen minta LTAT jelaskan pemilihan Achi Jaya ambil alih Boustead Plantations

 

LTAT pilih Achi Jaya ambil alih Boustead Plantations atasi bidaan SD Guthrie, Tradewinds

 

Boustead Plantations_DagangNews2026

 

Kata beliau lagi, kerajaan perlu mengambil kira pandangan pencarum, anggota dan bekas anggota tentera serta masyarakat, khususnya golongan Bumiputera yang mempunyai kepentingan terhadap pengurusan aset kumpulan berkenaan.

 

"Justeru, kami turut menggesa pengurusan dan Lembaga Pengarah LTAT mengadakan sesi libat urus bersama pencarum, persatuan bekas tentera, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta media sebelum keputusan dimuktamadkan," tegas Samsudin.

 

Tambahnya, kerajaan perlu mengambil iktibar daripada isu pengurusan institusi dan aset strategik terdahulu supaya keputusan pelupusan tidak menimbulkan persoalan ketelusan sehingga mencetuskan desakan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

 

Dalam pada itu, beliau merujuk laporan LEGASI Research yang membangkitkan persoalan mengenai pengurusan aset tanah milik GLC dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), khususnya pihak yang menikmati manfaat ekonomi jangka panjang daripada aset berkenaan.

 

Kata Samsudin, penjualan tanah mungkin memberikan keuntungan segera kepada pemilik asal, namun pada masa sama berpotensi membuka ruang kepada pemaju swasta menikmati pulangan pembangunan yang lebih besar.

 

"Justeru, kerajaan perlu menilai semula strategi pelupusan aset tertentu dengan mengutamakan kepentingan pencarum serta kekayaan jangka panjang negara sendiri," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved