amree28/10/2026 - 16:40 Foto kredit Invest Kedah Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Okt — Pelabur swasta yang ingin membiayai projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di Kedah terpaksa menangguhkan pelaburan berikutan dua syarat kelulusan kerajaan Persekutuan masih belum dimuktamadkan.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada Selasa mendedahkan, kerajaan negeri sudah pun memenuhi enam daripada lapan syarat yang ditetapkan oleh Majlis Perancangan Fizikal Negara.
Sekretariat Penerangan Darul Aman memetik kenyataan beliau berkata, dua perkara berbangkit yang memerlukan tindakan Putrajaya itu melibatkan kelulusan lesen aerodrom serta Pelan Strategik Aeroangkasa Negara.
"Kelulusan lesen aerodrom berkenaan berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)," jelasnya.
Muhammad Sanusi menyatakan proses kelulusan itu agak perlahan dan berharap ia dapat dipercepatkan, sambil menambah bahawa tiada sebarang garis masa diberikan kepada kerajaan negeri setakat ini.
Kedah merancang untuk membangunkan KXP serta infrastruktur sokongan menerusi Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) tanpa menggunakan sebarang dana daripada kerajaan negeri mahupun Persekutuan.

Melalui model pembiayaan tersebut, pelabur swasta membina infrastruktur dan menyediakan tapak pembangunan, manakala kos infrastruktur pula diserap oleh sektor industri yang bertapak di situ.
Bagaimanapun, Kementerian Pengangkutan sebelum ini pernah membangkitkan kebimbangan mengenai isu kebolehlaksanaan teknikal, keselamatan penerbangan, serta kemampanan kewangan projek berkenaan.
Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) ketika itu juga mendapati unjuran permintaan kargo yang dikemukakan oleh pemaju projek disifatkan terlalu optimistik berbanding permintaan pasaran sebenar.
Ia turut meragui keupayaan pemaju untuk mengumpul RM5.67 bilion yang diperlukan bagi fasa pertama projek kerana kekurangan dokumen sokongan serta strategi pengurusan risiko secara jelas.
KXP yang diumumkan pada Ogos 2021 disasarkan menjadi pemangkin ekonomi Kedah bagi mewujudkan 18,000 peluang pekerjaan dan menyumbang RM1.2 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). - DagangNews.com






