Jaslinda dibenarkan keluar hospital, janji jawab dakwaan mengenai kehilangannya

LocalTravel
9 Jun 2026 • 3:48 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Jaslinda dibenarkan keluar hospital, janji jawab dakwaan mengenai kehilangannya

SHAH ALAM, 9 JUN: Pendaki yang dilaporkan hilang selama 14 hari ketika mendaki Gunung Batu Putih, Tapah Jaslinda Saludin, dibenarkan pulang dari Hospital Tapah hari ini selepas menerima rawatan selama tiga hari.

Wanita berusia 49 tahun itu dilihat keluar dari Wad Perempuan Hospital Tapah pada jam 1.50 tengah hari dengan diiringi petugas kesihatan sebelum menaiki sebuah kereta bersama suaminya, Haszman Othman, 61.

Dengan menggunakan tongkat dan kaki kiri berbalut, Jaslinda kelihatan terharu ketika mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mendoakan keselamatannya sepanjang tempoh kehilangannya.

Beliau turut memohon maaf kepada semua pihak khususnya pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang terlibat dalam usaha mencarinya sejak kehilangan itu dilaporkan.

“Alhamdulillah saya sihat. Terima kasih banyak kepada semua rakyat Malaysia kerana doakan keselamatan saya, saya sangat menghargainya,” katanya sebelum beredar.

Dalam pada itu, Jaslinda meminta diberikan ruang dan masa sebelum tampil memberikan penjelasan berhubung pelbagai dakwaan yang timbul susulan kehilangannya.

Menurutnya, beliau akan mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menjelaskan perkara yang didakwa tersebar mengenai dirinya.

“Kenyataan itu kemudianlah saya akan beritahu. Yang benda-benda semua itu, yang didengar itu semuanya fitnah. Nanti saya bagi kenyataan saya,” katanya, lapor Harian Metro.

Jaslinda turut menegaskan bahawa beliau tidak pernah berniat menyusahkan mana-mana pihak sepanjang insiden berkenaan.

Sabtu lalu, wanita itu ditemui dua penduduk Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh yang sedang memancing di Sungai Woh.

Beliau ditemukan pada hari ke-14 kehilangannya ketika operasi SAR berskala kecil memasuki hari ketiga selepas operasi SAR berskala besar dilaksanakan dari 25 Mei hingga 3 Jun lalu.